Ekonomi

Rafiah Salim bersara; Zakri Khir ambil alih jawatan Pengerusi Allianz Malaysia

Allianz Malaysia Berhad telah melantik Zakri Khir sebagai Pengerusi Syarikat, berkuat kuasa 23 Jun 2022.

Zakri akan mengambil alih daripada Tan Sri Datuk (Dr.) Rafiah Salim yang bersara pada Mesyuarat Agung Tahunan Syarikat ke-48 pada 22 Jun 2022, setelah bersama dengan Allianz Malaysia selama sedekad dengan
penghormatan sebagai Pengerusi wanita pertamanya.

Rafiah, yang memegang jawatan pengarah Syarikat sejak 2012, juga merupakan Naib Canselor wanita pertama di Universiti Malaya.

Beliau adalah rakyat  Malaysia pertama memegang jawatan tinggi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York semasa berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Agung Pengurusan Sumber Manusia dari 1997 hingga 2002.

Zakri, yang menyertai Allianz Malaysia pada 2000, berkhidmat sebagai Ketua  Pegawai Eksekutif (CEO) Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad dari Disember 2010 hingga Jun 2021.

Related Articles

Beliau juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat dan Pengurus Negara Allianz Malaysia dari September 2014 hingga Disember 2021.

Beliau memainkan peranan penting dalam pengambilalihan Malaysia British Assurance Berhad oleh Allianz pada 2001 dan kemudiannya kejayaan mengintegrasikan Commerce Assurance Berhad pada 2007, yang melonjakkan Allianz General kepada kedudukan peneraju pasaran di negara ini.

“Ia merupakan suatu kebanggaan dan penghormatan untuk berkhidmat sebagai Pengerusi bagi entiti Malaysia untuk salah satu syarikat insurans global yang terbesar.

“Dalam menutup tirai kerjaya saya di Allianz Malaysia, saya berpuas hati dan sangat gembira dengan apa yang telah kami capai, dan dengan penuh keyakinan saya menyerahkan mantel kepada Zakri.

“Sebagai bekas CEO kami, saya telah menyaksikan pandangan jauh Zakri, langkah perniagaan yang berani dan kepimpinan yang sempurna, dan saya sangat teruja untuk melihat masa depan Syarikat,” kata Rafiah.

Allianz Malaysia Berhad, anak syarikat Allianz SE, ialah syarikat pegangan pelaburan untuk Allianz General dan Allianz Life Insurance Malaysia Berhad.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button