Puteri Latifa mahu dibebaskan dari vila penjara
Anak perempuan pemerintah Dubai mengatakan dia dijadikan tebusan dan dikhuatiri akan dibunuh setelah mencuba untuk melarikan diri.
Sheikha Latifa sudah tidak kelihatan di khalayak ramai sejak dia mencuba melarikan diri dari Emirate melalui jalan laut pada Mac 2018.
Dalam satu klip yang dikatakan difilemkan kira-kira setahun setelah dia ditangkap dan kembali ke Dubai menunjukkan dia berjongkok di satu sudut yang dia katakan adalah bilik mandi.
“Saya dijadikan tebusan dan vila ini telah ditukar menjadi penjara,” katanya dalam satu video.
“Terdapat lima anggota polis di luar dan dua polis wanita di dalam rumah.
“Setiap hari saya bimbangkan keselamatan dan kehidupan saya,” kata Latifa.
Dalam video lain, Latifa mengatakan keadaannya semakin terdesak setiap hari.
“Saya tidak mahu menjadi tahanan di vila penjara ini.
“Saya hanya mahu bebas,” katanya lagi.
BBC mengeluarkan petikan video menjelang program berita penyiasatannya “Panorama”.
Sky News melaporkan bahawa mereka juga telah menerima video tersebut tetapi tidak dapat menghubungi Latifa selama sembilan bulan terakhir.
Penyiar tersebut melaporkan bahawa video tersebut kini telah diserahkan kepada PBB oleh rakan-rakannya.
Pihak berkuasa Dubai tidak melayani permintaan untuk memberi komen mengenai hal ini.