Apabila bersama dengan pasangan yang kurang tepat, golongan yang lemah sering kali jadi mangsa keadaan atau lebih tepat lagi dikenali sebagai mangsa dera.
Antara golongan yang mudah terdedah menjadi mangsa dera biasanya anak-anak, wanita, golongan warga emas dan OKU kerana ketidak upayaan mereka untuk melawan.
Bagi pelaku yang tidak berhati perut, mereka jadi berani kerana kumpulan yang jadi mangsa tidak akan sesekali berani melawan dan lemah daripada segala aspek.
Sehubungan itu, Kaunselor Pelatih Yayasan Kebajikan Negara, Nur Liyana Abd Jamil berpendapat, kumpulan yang menjadi mangsa dera tidak seharusnya berdiam diri.
“Selain melaporkan kepada pihak berkuasa, kumpulan yang terjejas emosi dan memerlukan bantuan ini perlu tahu kewujudan Pusat Sokongan Sosial Setempat.
“Projek ini dikelola oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWM) dan sudah mula berkomunikasi dengan masyarakat,” katanya.
Nur Liyana berkata demikian ketika ditemui Suara Merdeka dalam Program 100 Hari Apresiasi Keluarga Malaysia yang berlangsung di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC).