Public Bank terus sediakan bantuan pembayaran balik
PUBLIC Bank terus komited untuk membantu individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan bantuan pembayaran balik, termasuk bantuan penjadualan dan penstrukturan semula (R&R) pinjaman mereka.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr. Tay Ah Lek berkata, pelbagai bantuan pembayaran balik Public Bank yang komprehensif untuk individu dan PKS akan terus disediakan secara meluas.
“Public Bank telah menyediakan bantuan pembayaran balik kepada para peminjamnya yang memerlukan, termasuk penjadualan dan penstrukturan semula bayaran.
“Dengan kenaikan kadar faedah, para peminjam juga boleh memohon untuk mengekalkan amaun ansuran bulanan mereka sekarang sebelum kenaikan kadar faedah berkenaan bagi menyokong usaha berterusan kerajaan sepanjang fasa pemulihan ekonomi,” katanya.
Sebagai ‘bank untuk orang awam’ yang bertapak dengan kukuh dalam masyarakat sejak memulakan perniagaannya pada 6 Ogos 1966, Tay berkata sejak dahulu lagi, bermula dengan pandemik sehingga bencana banjir yang berlaku baru-baru ini, Public Bank telah menawarkan bantuan pembayaran balik dan penangguhan bayaran disebabkan banjir bagi meringankan beban kewangan para peminjam yang terjejas oleh bencana tersebut.
Public Bank turut menawarkan sokongan kepada PKS untuk membaik pulih dan menggantikan aset perniagaan, misalnya loji dan jentera PKS terbabit, yang rosak akibat banjir selain menyediakan bantuan modal kerja.
Usaha ini dicapai melalui penawaran Kemudahan Bantuan Bencana Bank Negara Malaysia (BNM), yang mana Public Bank telah menyediakan pembiayaan berjumlah lebih daripada RM38 juta setakat ini.
Bukan itu sahaja, Public Bank juga memberi penekanan terhadap usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai Khidmat Nasihat Pembiayaan (MyKNP). Khidmat penasihatan ini membantu para peminjam agar lebih memahami faktor-faktor yang mempengaruhi permohonan pembiayaan mereka.
Dengan mengambil tindakan berdasarkan faktor-faktor tersebut, kelayakan para peminjam boleh ditingkatkan untuk memperoleh pembiayaan pada masa hadapan.
Untuk mengetahui lebih lanjut, pelanggan boleh menghubungi Bank melalui 03-2176 6008 atau layari laman web Bank https://www.pbebank.com. – SM