PTPTN gesa peminjam tidak terlepas diskaun bayaran balik
KUALA LUMPUR: Mereka yang meminjam daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) digesa merebut peluang menikmati insentif diskaun bayaran balik pinjaman yang akan berakhir pada 30 April ini.
PTPTN berkata, dari 1 Nov 2021 hingga 28 Feb tahun ini, 367,433 peminjam telah menikmati insentif bayaran balik dengan jumlah diskaun yang diberikan ialah RM112.4 juta.
Menerusi pembentangan Bajet 2022 pada 29 Okt tahun lepas, kerajaan bersetuju memberi peminjam PTPTN diskaun 15% ke atas bayaran balik pinjaman mereka jika mereka menjelaskan baki hutang sepenuhnya.
Selain itu, diskaun 12% diberikan untuk pembayaran balik sekurang-kurangnya 50% daripada baki hutang dalam satu pembayaran, dan diskaun 10% untuk pembayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.
“PTPTN berharap semua peminjam menunaikan tanggungjawab mereka untuk membayar balik pinjaman mereka supaya PTPTN dapat meneruskan pinjaman pendidikan untuk generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Pembayaran balik boleh dibuat secara dalam talian melalui perbankan Internet, JomPAY, MyPAY, Shopee, portal rasmi PTPTN (FPX) dan saluran terkini – aplikasi mudah alih myPTPTN.
Untuk pertanyaan, peminjam boleh melayari portal rasmi di www.ptptn.gov.my atau menghubungi PTPTN melalui saluran seperti talian jagaan PTPTN di 03-2193 3000 yang beroperasi dari Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang.