PRU15: Anak Nik Aziz antara tujuh calon profil tinggi PH
ANAK kedua Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, Nik Omar menjadi calon Pakatan Harapan (PH) yang akan bertanding di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Bagaimanapun Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengulas lanjut berhubung keahlian anak bekas Mursyidul Am Pas itu yang akan bertanding atas tiket PH.
“Ia belum berbangkit (status keahlian Nik Omar) sebab kita sudah menyampaikan pandangan kepada Amanah, (yang penting) kita bertanding di bawah PH,” ujar beliau dalam sidang akhbar yang turut disiarkan secara langsung di Facebook dari Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengumumkan senarai nama tujuh calon atas kuota PKR untuk bertanding atas tiket PH pada PRU15. Hadir sama Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli.
Bagaimanapun, Anwar tidak menyatakan sama ada calon yang diumumkan itu bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.
Menurutnya, kawasan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi calon diumumkan hari ini akan diumumkan pada Jumaat ini.
Selain Nik Omar, enam lagi calon terdiri daripada bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Zainal Azman Abu Seman yang akan bertanding di Perak; bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UsniZA), Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan (Pahang) dan Pensyarah Kanan Jabatan Parasitologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Dr. Noraishah Mydin Abdul Aziz (Wilayah Persekutuan).
Tiga lagi calon yang disenaraikan iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan Yusop (Selangor), bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha (Negeri Sembilan) dan calon siswa, Fathin Amelina Fazlie (Perlis).
Beliau berkata, PKR memandang tinggi harapan dan kehendak rakyat supaya parti politik menampilkan gabungan calon dari pelbagai latar belakang yang berwibawa.
Katanya, cabaran mengurus negara yang semakin rumit memerlukan kepakaran dan pengalaman dalam pelbagai bidang.
“PKR sedar bahawa pengundi tidak lagi menilai parti semata-mata tetapi menitikberatkan juga ketrampilan calon dari pelbagai latar belakang dan kepakaran.
“Kita ada 222 Parlimen, berpuluh-puluh lagi kawasan negeri, jadi saya fikir tidak munasabah untuk dipertikai, tokoh yang istimewa dari segi idea mereka, kepakaran, pengalaman, komitmen mereka untuk ditampilkan, ini jelas,” katanya.
Sementara itu Nik Omar berkata, penampilannya bersama PH adalah untuk meneruskan legasi Allahyarham ayahnya dalam arena politik.
“Pepatah Arab ada menyebut semua jalan menuju ke Mekah, jadi ada yang jalan darat, ada yang jalan jauh, ada ke udara.
“Yang penting kita dalam satu PH, keberadaan ambo (saya) di sini untuk menunjukkan komitmen tentang konsisten kita untuk bawa kerajaan yang berpaksikan kepada keadilan,” katanya dalam sidang akhbar tersebut.
Beliau menyifatkan pemilihannya mewakili PH membuktikan komitmen tinggi gabungan politik itu untuk memperjuangkan keadilan bagi rakyat Malaysia.
“Pengumuman tadi adalah ‘wasilah’ bagi menonjolkan kepada rakyat Malaysia bahawa PH memiliki komitmen tinggi memperjuangkan keadilan kepada semua rakyat,” ujarnya. – SM