Nasional

Nahas heli Brinchang: Tiga parah, usaha menyelamat sedang dijalankan

TIGA cedera parah apabila helikopter yang mereka naiki terhempas di hutan Brinchang, Cameron Highlands.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, terdapat enam orang termasuk juruterbang ketika helikopter itu terhempas.

Beliau berkata, jabatan itu menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.06 petang.

“Usaha membawa mangsa keluar dari lokasi kejadian masih diteruskan. Sepasukan anggota bomba dari Tapah, dibantu anggota bomba Cameron Highlands telah dihantar ke tempat kejadian.

“Kejadian berlaku antara sempadan Perak dan Pahang, berhampiran De Garden Enterprise, Cameron Highlands,” katanya.


Helikopter itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah ke Brinchang apabila dipercayai terhempas kira-kira pukul 1.15 tengah hari tadi.

Ketika nahas berlaku, dipercayai helikopter itu membawa kakitangan perubatan dan peralatan perubatan ke tanah tinggi.

Sementara itu di Putrajaya, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata, mereka dimaklumkan oleh pengendali kemalangan udara melibatkan Helikopter Airbus AS 355 F2, pendaftaran menandakan 9M-SSW berhampiran Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang pada kira-kira pukul 1.03 tengah hari, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Chester Voo berkata, helikopter yang dikendalikan oleh Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd itu berlepas dari Kampung Gawin menuju ke Tanjung Rambutan, Perak pada pukul 12.20 tengah hari.

“Terdapat seorang juruterbang dan lima penumpang di dalam pesawat.

“CAAM Emergency Operations Control (EOC) dan Aeronautical Rescue Coordination Centre (ARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) di Sepang, Selangor diaktifkan serta-merta pada pukul 1.11 tengah hari.

“Unit Mencari dan Menyelamat (SAR) pertama dihantar ke lokasi berkemungkinan dalam tempoh 19 minit dan usaha sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Bahagian XXVI 2016. – SM

(Visited 57 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button