Proses Pembaharuan Pas My50 Ditangguh Sementara Untuk Penambahbaikan Sistem
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) selaku pengendali perkhidmatan Rapid KL ingin memaklumkan bahawa proses pembaharuan pas My50 akan ditangguh sementara waktu, bermula 23 Disember 2024 sehingga 31 Januari 2025 di semua kaunter khidmat pelanggan rel, BRT dan hab bas Rapid KL.
Penangguhan sementara ini adalah untuk memberi laluan kepada kerja-kerja penambahbaikan sistem penjualan pas My50 bagi meningkatkan keupayaan sistem untuk menampung jumlah pengguna pas My50 yang semakin bertambah.
Walau bagaimanapun, pembelian pas My50 yang baharu masih boleh dilakukan seperti biasa di semua kaunter tersebut.
Bagi pengguna yang masih mempunyai baki hari dalam pas My50 sedia ada, perlu menghabiskan baki hari tersebut terlebih dahulu sehingga pas tamat tempoh dan membuat pembelian pas baharu selepas itu.
Prasarana sangat menghargai kerjasama dan sokongan berterusan daripada semua pengguna sepanjang tempoh ini. Kami amat berterima kasih atas kesabaran dan kefahaman yang telah diberikan.
Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Rapid KL di 03 -7885 2585 atau merujuk kepada laman media sosial Rapid KL untuk maklumat terkini.