Ekonomi

Projek utama rangkain rel, jalan raya siap dalam RMK-12

BEBERAPA projek utama rangkaian rel dan jalan raya bersepadu yang menghubungkan lapangan terbang dan pelabuhan dengan kawasan perindustrian, bandar dan luar bandar dijadual siap dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12.

Perkara tersebut diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam pembentangan usul RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa Satu yang menghubungkan Rawang ke Salak Selatan dijangka siap pada tahun 2022;

Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru yang merupakan jajaran akhir landasan berkembar elektrik dari Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru, Johor dijadualkan siap pada tahun 2023;

Pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diteruskan dan dijangka siap pada tahun 2026;

Projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan stesen Bukit Chagar, Johor Bahru dengan stesen Woodlands North di Singapura akan mula dibina pada hujung tahun 2021;

Lebuhraya Pantai Barat yang melibatkan negeri Selangor dan Perak dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024;

Projek Central Spine Road dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai, Kelantan dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun 2025; dan

Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.

“Infrastruktur dan utiliti asas yang berkualiti dan berdaya harap seperti jalan raya, rel, bekalan air dan elektrik penting bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA bakal menyediakan 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk, liputan 5G yang lebih luas, dan jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis menjelang tahun 2025.

Sehingga bulan Ogos 2021, sebanyak 94 peratus kawasan berpenduduk telah mendapat liputan 4G.

Kelajuan perkhidmatan jalur lebar mudah alih pula telah mencapai 29.1 megabit sesaat dan lebih 6 ribu premis telah mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar talian tetap.

Rangkaian teknologi 5G akan dilancarkan pada penghujung tahun 2021. Pelbagai inisiatif pendigitalan ini dijangka menyokong pencapaian sasaran 25.5 peratus sumbangan ekonomi digital kepada KDNK pada tahun 2025. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button