PRN: Kon Yeow dedahkan PH & UMNO Pulau Pinang bersatu, ‘tidak bercakaran’
Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang dan UMNO Pulau Pinang mencapai persetujuan untuk tidak bertanding sesama sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi PH negeri, Chow Kon Yeow berkata, walaupun pembahagian kerusi belum lagi dimuktamadkan namun melalui pertemuan yang diadakan semalam, kedua-dua pihak telah sepakat untuk memastikan kemenangan besar PH dan BN pada PRN akan datang.
Selain itu, persetujuan juga dicapai untuk melihat keperluan dan kriteria lain berhubung prinsip gabungan itu yang sebelum ini memutuskan untuk penyandang kerusi parti sedia ada kekal bertanding pada PRN nanti.
“Kita mendengar pandangan masing-masing dimana bagi PH kita memang menegaskan prinsip Majlis Pimpinan Pusat, prinsip dimana incumbent kekal bertanding tetapi kedua pihak setuju melihat kriteria lain daripada prinsip sedia ada apabila perlu melihat kerusi berkenaan selain dari prinsip yang diputuskan itu,” katanya.
Kon Yeow berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Komtar, Pulau Pinang pada Selasa ketika diminta mengulas mengenai pertemuan dengan UMNO negeri bagi membincangkan berhubung pembahagian kerusi PRN.
UMNO diwakili Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Timbalan Pengerusi, Datuk Shaik Hussein Mydin; Setiausaha, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah, Bendahari, Datuk Jeffri Salim, Setiausaha BN Pulau Pinang, Datuk Omar Faudzar dan Pengerusi Jabatan Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Manakala PH pula diwakili Kon Yeow selaku Pengerusi PH negeri, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman mewakili Nurul Izzah Anwar, Timbalan Pengerusi 2, Datuk Roslan Ahmad, Setiausaha, Lim Hui Ying, Bendahari, Goh Choon Aik dan Pengarah Komunikasi dan Penerangan, Zaidi Zakaria.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, pertemuan yang diwakili enam wakil daripada PH dan enam wakil UMNO negeri itu disifatkan sebagai pertemuan bersejarah dan berlangsung dalam suasana aman, selesa dan semangat yang baik.
Kon Yeow berkata, perbincangan seterusnya akan diadakan dari semasa ke semasa sehingga isu pembahagian kerusi diantara kedua- dua parti dimuktamadkan.
“Kedua-dua pihak setuju tentang prinsip ini dan akan adakan perbincangan pusingan seterusnya setelah apa yang dipersetujui untuk bersama parti masing-masing.
“Kita sifatkan ini kejayaan tetapi kita belum muktamadkan pembahagian kerusi kita setuju dengan prinsip melihat sejauh mana permintaan masing- masing, akhirnya capai persetujuan,” katanya lagi.
Jelasnya, perbincangan bersama UMNO semalam lebih menjurus kepada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang merupakan kerusi majoriti Melayu di negeri itu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu, enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN masing-masing, maka satu PRN perlu diadakan sekiranya kerajaan negeri berkenaan membubarkan DUN masing-masing atau DUN terbubar dengan sendiri selepas tamat tempoh kelak.
Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan pada PRU14, PH memenangi 37 kerusi, termasuk kerusi-kerusi DUN daripada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang ketika itu masih menjadi sebahagian daripada PH.
BN pula hanya menang dua kerusi DUN iaitu Sungai Dua dan Permatang Berangan manakala Pas mempunyai satu kerusi iaitu Penaga.