PRK

PRK Kimanis sangat signifikan lihat sokongan rakyat – Muhyiddin

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis sangat signifikan bagi melihat sejauh mana sokongan rakyat terhadap program dan inisiatif dilakukan kerajaan dalam membangunkan negeri ini, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata pilihan raya kecil itu juga menjadi medan ujian bagi melihat apa dinyatakan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, diterima dan dijadikan asas pegangan dalam menentukan hala tuju Sabah ke arah lebih gemilang pada masa depan.

 

“Sebab itu, walaupun ini pilihan raya kecil tetapi besar signifikannya …antara perkara agak penting untuk saya peringatkan semula bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) lepas sudah setahun sembilan bulan dengan rakyat membuat keputusan besar dalam sejarah negara, berlaku perubahan luar biasa,.

“Bukan kerana Pakatan Harapan (PH) di peringkat nasional atau Parti Warisan Sabah (Warisan) di Sabah tetapi suatu kesedaran rakyat bahawa kepincangan, salah guna kuasa, rasuah dan masalah besar telah dilakukan oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN) harus ditolak oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah umum Warisan yang turut dihadiri Mohd Shafie yang juga presiden Warisan di Bongawan Plaza dekat Kimanis malam tadi.

Muhyiddin yang juga timbalan presiden PH berkata rakyat sebenarnya membuat suatu keputusan amat besar ertinya pada PRU lepas dalam menentukan kepimpinan negara selepas lebih 60 tahun di bawah BN.

Katanya tidak dinafikan ketika BN mentadbir negara, parti itu melaksana kemajuan, pembangunan dan perkara yang memberi manfaat kepada rakyat, namun disebabkan kerakusan kuasa serta mahu hidup mewah, mereka lupa tanggungjawab sebagai pemimpin dalam parti dan kerajaan.

“Mereka (BN) salah guna kedudukan mereka, samun harta rakyat dan disebabkan itu bangkit semangat baharu dalam kalangan rakyat Malaysia untuk tolak BN.

“Persoalannya, PRK ini (Parlimen Kimanis) kita (Warisan) akan menentang BN…soalan mudah saya nak tanya selaku pengundi Kimanis apakah mahu kembalikan seorang individu atas tiket BN untuk menjadi wakil rakyat saudara…mesti jawabnya tidak mahu sejarah lampau berulang kembali,” katanya.

Muhyiddin yakin kepimpinan Mohd Shafie yang mentadbir kerajaan negeri Sabah berada dalam situasi baik walaupun menghadapi cabaran dan kesukaran disebabkan oleh kepincangan dilakukan pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.

Pada PRK Kimanis 18 Jan ini, calon Warisan Datuk Karim Bujang, 67, dicabar calon BN Datuk Mohamad Alamin, 48.
— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button