NasionalNegeri

Prihatin sesama insan ciri Muslim sejati – Raja Muda Perlis

PRIHATIN dan peka terhadap masalah yang dihadapi sesama insan adalah antara sikap dan ciri seorang Muslim sejati, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, atas maksud itu, kita dianjurkan untuk berusaha membantu dan memberi jalan keluar bagi mereka yang memerlukan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Syed Sirajuddin Areeb Putra berkenan menyerahkan sumbangan zakat MAIPs kepada Atwabey di Masjid Vilnius Islamic Cultural And Education Centre di Vilnius, Lithuania, semalam.

Raja Muda bertitah demikian dalam siaran media oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas Baginda berangkat menunaikan solat jumaat di Masjid Vilnius Islamic Cultural And Education Centre di Vilnius, Lithuania semalam.

Baginda diiringi anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Dr Zaliman Sauli.

Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang DiPertua MAIPs menzahirkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua para penyumbang budiman yang telah sudi menghulurkan sumbangan kepada Misi Bantuan Kecemasan MAIPs untuk mangsa gempa bumi Morocco 2023 yang telah Baginda lancarkan baru-baru ini

“Perlis bersolidariti dengan mereka yang terjejas ekoran kejadian gempa bumi di Morocco dan berharap agar sedikit sumbangan yang disalurkan dapat membantu mengurangkan bebanan yang dihadapi,” titah Raja Muda.

Sifat prihatin ini bertepatan dengan firman Allah Azzawajalla di dalam Surah At-Taubah ayat 71 yang bermaksud, “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Dalam hubungan itu, menurut Raja Muda, sebanyak RM 147,500 daripada sasaran kutipan RM150,000 telah berjaya diperoleh MAIPs semenjak tabung ini dilancarkan Selasa lalu yang akan diserahkan kepada Kerajaan Morocco seperti yang disarankan oleh pihak Kedutaan Morocco di Kuala Lumpur.

Sumbangan daripada masyarakat pada masa ini amat diperlukan memandangkan keadaan di Morocco yang bakal menghadapi musim dingin tidak lama lagi.

Ketika di Masjid Vilnius Islamic Cultural And Education Centre di Vilnius, Lithuania, Baginda
berkenan menyerahkan sumbangan zakat MAIPs kepada masjid berkenaan yang diterima oleh Imamnya, Ismail Atabey yang berasal dari Turkiye.

Baginda berada di Lithuania selama dua hari bagi menghadiri majlis persefahaman kerjasama akademik dan penyelidikan antara UniMAP dengan Vilnius Gediminas Technical University (Vilnius Tech).

Untuk rekod, terdapat kira-kira 10,000 orang Islam di Lithuania dan 50 peratus daripadanya adalah berketurunan Turkiye.

Pada masa ini ada empat atau lima buah masjid dan beberapa musolla di seluruh Lithuania. – SM

BACA Masjid pusat perkembangan ilmu, pemikiran – Raja Muda Perlis

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button