PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, prestasi kerja yang baik dan optimum pastinya dapat meningkatkan produktiviti serta memberikan hasil kejayaan kepada sesebuah organisasi.
Sehubungan itu titah Baginda, untuk meningkatkan prestasi kerja, adalah penting mengenal pasti faktor berbeza yang boleh mempengaruhinya secara positif.
Titah Baginda, antara faktor yang dikenal pasti ialah persekitaran kerja dan sokongan sosial termasuk sokongan moral seperti pemimpin, rakan sekerja dan persekitaran organisasi itu sendiri.
Baginda bertitah, umumnya, gaya kepimpinan dapat dibahagikan kepada dua kategori iaitu kepimpinan positif dan kepimpinan negatif.
Pemangku Raja bertitah, gaya kepimpinan positif adalah pimpinan lebih teratur, berstruktur kemas serta baik; manakala gaya kepimpinan negatif pula seperti pimpinan yang lemah, menekan pekerja secara tidak baik atau menjurus kepada ‘buli’ pekerja.
“Secara amnya, kepimpinan positif akan memberikan kesan yang positif kepada prestasi termasuk hasil kerja dan begitulah sebaliknya,” titah Baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai program Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli di sekitar Ulu Pauh, baru-baru ini.
Baginda diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan usahawan dari Pulau Pinang, Steven Ooi.
Kayuhan sejauh 12 kilometer itu melewati Kampung Ulu Pauh, Kampung Bukit Emas, Jalan Cikgu Ali dan Kampung Lalang.
Sempena program ini, tiga asnaf dipilih menerima wang tunai MAIPs sumbangan RM700 setiap seorang, ‘Kit MAIPs Peduli’ dan beras fidyah.
Penerima adalah Khalid Hassan, 64, Md Rohki Yahaya, 57 dan Mohd Fazil Zainol, 56. – SM
BACA ATAM komited sasar 1,000 peluang pekerjaan kepada asnaf – Raja Muda