NasionalNegeri

ATAM komited sasar 1,000 peluang pekerjaan kepada asnaf – Raja Muda

AKADEMI Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM), sebuah anak syarikat di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) komited untuk mencapai sasaran menyediakan 1,000 peluang pekerjaan kepada golongan asnaf fakir miskin di negeri ini.

Sasaran berkenaan adalah bertepatan dengan Teras Pemantapan Agihan Holistik dalam Pelan Strategik MAIPs 2021-2025 dan Pelan Tindakan Agihan Holistik MAIPs 2.0 seperti yang telah diperkenankan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam ‘Sasaran Pencapaian MAIPs 2025’.

Bagi menjayakan sasaran berkenaan, sebanyak tiga teras telah dikenalpasti oleh ATAM dalam rangka untuk memberikan fokus peluang pekerjaan dan pendapatan kepada golongan asnaf di Perlis iaitu Teras Kemahiran, Keusahawanan dan Pendidikan.

Demikian dititahkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang DiPertua MAIPs selepas berkenan menyerahkan agihan zakat MAIPs berjumlah RM1,000 kepada Masjid Azhar Vientiane, Laos yang diterima oleh Imamnya, Ustaz Mat Komphavong baru-baru ini.

Penyerahan tersebut diadakan di Kedutaan Besar Malaysia Vientiane sempena keberangkatan Raja Muda merangkap Canselor UniMAP mengetuai delegasi Jelajah Ilmu UniMAP ke negara tersebut sebelum berlepas pulang.

Hadir sama ialah Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane, Qairunnisa Md Alias dan Penasihat Pertahanan, Kolonel Nadzri Che Lah. -SM

(Visited 164 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button