Politik

Presiden Pas sindir UMNO ke?

SATU kenyataan dikeluarkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat seolah-olah menyindir rakannya dalam Muafakat Nasional, UMNO.

Menerusi ciapan dalam Twitternya, Abdul Hadi mempersoalkan tindakan ahli politik yang masih lagi bermain politik ketika negara sedang bergelut dengan krisis kesihatan.

“Pada waktu yang gawat ini, mereka masih berbahas siapa yang layak menjadi Perdana Menteri.

“Walaupun dalam keadaan mereka berpecah belah tidak mampu mengumpulkan jumlah yang mencukupi.

“Ada juga yang telah tenggelam bahteranya, tetapi masih berpaut.”

Demikian ciapan Ahli Parlimen Marang dalam Twitternya hari ini dilihat seperti menyindir UMNO.

Kata beliau menyentuh soal pecah belah dan perebutan jawatan Perdana Menteri seperti ditujukan kepada UMNO apabila wujud kumpulan-kumpulan yang berpecah dalam parti itu.

Ini termasuklah mereka yang dikatakan menganjurkan ‘jajaran politik baharu’ iaitu menyokong kerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Selain itu, terdapat juga tindakan dalam kepimpinan dan juga ahli yang mendesak perletakan jawatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Dakwaan itu tidak dinafikan wujud apabila Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan menegur ahli dan kepimpinan supaya menghormati institusi presiden.

Walau bagaimanapun, Mohamad juga sebelum ini pernah menafikan beliau antara tersenarai sebagai calon Perdana Menteri sekiranya UMNO memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

Sementara itu dalam ciapan berasingan, Abdu Hadi turut menegur segelintir ahli politik yang berterusan berpolitik secara tidak matang.

“Di kala wabak Covid-19 merebak dengan pantas ini masih ada juga yang masih ‘berpolitiking’ sepanjang masa dengan pelbagai alasan politik yang tidak matang dan sejahtera,” ujarnya.

Terdahulu, Abdul Hadi ditegur kerana mengeluarkan kenyataan berkaitan pendaftaran mengundi dalam kalangan masyarakat Melayu.

Katanya, masih ramai orang muda dalam masyarakat Melayu yang masih tidak mendaftar sebagai pengundi dan beliau menyifatkan mereka sebagai ‘dirasuk syaitan’ warisan penjajah terdahulu.

Walau bagaimanapun, beliau digesa membuat permohonan maaf secara terbuka kerana tindakan itu disifatkan sebagai faktor anak muda menjauhi politik di negara ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button