NasionalUncategorized

Ponggal lembaran baharu buat masyarakat India

MASYARAKAT India akan meraikan pesta menuai atau Ponggal, iaitu perayaan utama khususnya bagi masyarakat petani, dan jatuh pada bulan ke sepuluh dalam kalendar tamil dikenali ‘Thai’, esok.

Sepertimana perumpamaan terkenal ‘Thai piranthal vazhi pirakkum’ yang bermaksud permulaan bulan Thai yang membawa tuah, masyarakat India akan menyediakan Ponggal atau nasi manis dan memuja Dewa Matahari, bumi dan lembu.

Tahun ini, masa paling bertuah untuk menyediakan nasi manis adalah di antara pukul 7.30 pagi dan 8.55 pagi, 10.30 pagi dan 11.55 pagi atau 5 petang dan 8 malam, menurut Presiden Hindu Sanggam Malaysia Datuk R.S. Mohan Shan.

Pesta Ponggal bermula pada 14 Jan dengan sambutan Bhogi iaitu amalan membakar barang lama dan lusuh, serta membersihkan rumah sebagai simbolik permulaan baharu pada bulan mulia, katanya kepada Bernama.

“Pada hari Ponggal, beras dimasak dengan susu dan gula perang dalam periuk tanah baharu, ketika matahari terbit atau waktu dianggap bertuah sehingga susu melimpah, ketika ini upacara pemujaan diadakan untuk Dewa Matahari,” kata Mohan.

Menurutnya, semua orang akan menjerit Ponggalo Ponggal sebaik susu yang mendidih melimpah daripada periuk tanah, sebagai lambang kemakmuran dan rezeki yang melimpah ruah.

Daun kunyit diikat di sekeliling belanga sebagai sebahagian daripada upacara dan mereka turut menghias rumah dengan daun manga dan hiasan kolam penuh berwarna-warni, diperbuat daripada tepung beras. Manakala tebu wajib ada, untuk perayaan ini.

“Hari selepas Thai Ponggal adalah Mattu Ponggal, khusus untuk meraikan haiwan suci bagi masyarakat Hindu, lembu. Pada hari ini, lembu dibersihkan, dihiasi dan dikalungkan bunga,” kata Mohan.

Manakala hari ketiga Ponggal adalah sambutan Kanni Ponggal khas untuk anak gadis bersembahyang, bagi mendapat kehidupan dan suami yang baik.

Mohan dalam pada itu menggesa masyarakat India Malaysia, memakai pakaian tradisional ketika merayakan Ponggal dan menjemput tetamu daripada kaum lain.

Sementara itu, Little India di Jalan Tengku Kelana, Klang, dan Brickfields di Kuala Lumpur sesak dengan pengunjung India, yang membeli periuk tanah, tebu, susu dan daun kunyit pada saat-saat akhir untuk meraikan pesta Ponggal.

Pembekal susu, Cinthaman Ponnusamy, 49, yang ditemui di Jalan Tengku Kelana, berkata dia menjangkakan permintaan tinggi untuk bahan itu dan telah membuat tempahan tambahan susu lembu segar untuk dijual sehingga lewat hari ini.

“Kami menerima tempahan sejak minggu lepas dan masih lagi menerima tempahan,” katanya sambil tersenyum.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button