POLIS mengesahkan sedang menyiasat satu laporan polis yang dibuat petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berkenaan isu penambahan slot vaksinasi Covid-19.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pengadu mendakwa wujud lebihan penerima vaksin dalam sistem MySejahtera berbanding jumlah vaksin yang diperuntukkan kepada PPV berkenaan.
“Siasatan masih diperingkat awal dan kita sedang memanggil beberapa orang saksi berkaitan untuk diambil keterangan.
“Kita juga menggesa orang ramai unutk tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan perkara ini.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997,” katanya.
Menurut Mohd Kamarudin, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memberi kerjasama dan sokongan kepada kerajaan untuk memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjalan lancar.
Tambahnya, pihaknya juga tidak akan berkompromo dengan sebarang usaha untuk mensabotaj program yang sedang dilaksanakan sama ada untuk kepentingan peribadi mahupun sebaliknya. -SM