Polis sahkan penahanan enam rakyat Malaysia termasuk penyanyi di Thailand
Polis mengesahkan penahanan enam rakyat Malaysia termasuk penyanyi dikir barat moden popular di Sungai Golok, Thailand, semalam.
Ketua Polis Negeri Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata polis sedang menunggu butiran lanjut berhubung kes itu daripada rakan sejawat mereka di Sungai Golok.
“Saya boleh mengesahkan polis Thailand telah menahan enam rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi wanita dari Kelantan kerana memiliki pil.
“Kami dimaklumkan mengenai penahanan mereka oleh rakan sejawatan kami dari Thailand semalam,” katanya.
Dilaporkan penyanyi berusia 29 tahun itu antara enam rakyat Malaysia yang ditahan polis Thailand kerana memiliki 6,000 biji pil Yaba dianggarkan bernilai lebih RM90,000 di pekan Sungai Golok awal semalam.
Keenam-enam mereka ditahan di sebuah hotel kira-kira pukul 6 pagi. Mereka dipercayai menyeberang ke bandar sempadan untuk bercuti semasa cuti Deepavali.
Sudah menjadi kelaziman rakyat Malaysia khususnya dari Kelantan berkunjung ke hotel popular di pekan Sungai Golok untuk bercuti pada hujung minggu dan cuti umum, kerana hotel itu mempunyai disko yang beroperasi sehingga pagi.