Pochettino pilihan utama ganti Setien
MAURICIO POCHETTINO kini menjadi calon pilihan untuk menggantikan Quique Setien di Barcelona.
Setien hanya mampu menyaksikan skuad bimbingannya, Barca dimalukan menerusi kekalahan besar 2-8 di tangan Bayern Munich dalam suku akhir Liga Juara-Juara dan kelab bersedia untuk memecatnya.
Menurut stesen Radio Catalan, RAC1, bekas pengurus Tottenham, Pochettino kini berada dalam senarai teratas untuk mengambil tanggungjawab tersebut selepas dia meluang masa makan malam bersama Presiden kelab, Josep Bartomeu, awal minggu ini.
Pochettino dikaitkan dengan beberapa tawaran berprofil tinggi sejak dia dipecat oleh Spurs pada November.
Sebagai bekas pemain dan jurulatih Espanyol, Pochettino sebelum ini menjauhkan dirinya daripada bekerja dengan Catalan ekoran persaingan antara kedua-dua kelab.
Pengurus berusia 48 tahun itu mendakwa, dia lebih rela bekerja di ladang daripada bertugas selaku pengurus Barcelona atau Arsenal.
Bagaimanapun, Sportsmail melaporkan, awal bulan ini bahawa Pochettino dijangka melakukan kepulangan dramatik sebagai pengurus dengan menyertai Barca selepas mengimbas kembali ulasannya sebelum ini.
Dia dinafikan pekerjaan itu pada Januari setelah Ernesto Valverde dipecat sebelum peranan itu akhirnya diberikan kepada Setien.
Presiden kelab, Bartomeu mempunyai hubungan yang baik dengan warga Argentina itu dan kedua-dua mereka saling berhubung.
Bercakap kepada El Pais, bulan lalu, Pochettino pernah mengulas tawaran kerja bersama Barca pada ketika dia sering dikaitkan untuk menerajui kelab itu.
“Saya mencipta nama bersama Espanyol, tetapi saya tidak angkuh dan saya tidak gemar membuat kenyaataan sedemikian. Saya mungkin bercakap seperti ini sekarang, tetapi anda tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan.
“Saya pernah bertemu Bartomeu di kafe (pada 2018) dan kami saling menyapa dan sempat berbual dalam lima minit.
“Pertemuan itu telah mencetuskan khabar angin dan saya mahu menafikan khabar angin itu kerana saya enggan membelakangkan Barcelona,” tegas Pochettino. – Daily Mail UK – SM