Politik

PN umum nama calon PRU15 lebih awal-Muhyiddin Yassin

Oleh Liza Abdullah Yusuf
[email protected]

PERIKATAN Nasional (PN) akan mengumumkan nama calon yang disenaraikan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lebih awal bagi membolehkan mereka lebih bersedia menjelang hari penamaan calon pada 5 November ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, besar kemungkinan nama-nama calon akan diumumkan seawal 2 atau 3 November ini bagi membolehkan persiapan rapi dibuat.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam proses meneliti senarai calon dan pastikan mereka benar-benar layak mewakili rakyat dan sedia berkhidmat di tempat masing-masing.

“Hari ini saya sudah melihat nama calon dan membuat proses penyaringan. Semua nama sudah dihantar kepada pihak polis bagi mengesahkan mereka tidak ada sebarang kes atau isu berkaitan keselamatan,” katanya pada sidang media Program Sembang Santai Bersama Masyarakat Tionghua Bukit Kepong di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga perlu mendapatkan data daripada Jabatan Insolvensi bagi memastikan calon tidak dikenakan sebarang tindakan muflis.

“Maklumat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia juga sangat penting untuk mengesahkan calon tidak terpalit dengan kes rasuah selain bebas daripada segala tunggakan cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

“Empat faktor ini diberi perhatian serius supaya calon yang dicadangkan benar-benar layak dan berhak mewakili rakyat,” katanya yang turut memberi perhatian mengenai hubungan calon dengan penduduk setempat antara kriteria utama pemilihan.

Menjawab pertanyaan mengenai jika ada undangan untuk berdebat menjelang PRU15 ini, Muhyiddin berkata sekiranya ada jemputan secara rasmi untuk tujuan itu beliau sedia menerimanya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, beliau tidak ada masalah untuk berdebat mengikut kesesuaian topik perbincangan. Ini harus dibuat secara teratur dan baik membincangkan masalah rakyat selain berkongsi kepakaran dan pengalaman memulihkan ekonomi.

“Pelbagai perkara boleh kita bincang, saya terbuka untuk membincangkan topik pendidikan, pemulihan ekonomi dan kebajikan rakyat yang perlu dicakna untuk dimanfaatkan bersama,” katanya.

Mengulas lanjut usaha menangani kebajikan rakyat, Muhyiddin berkata, menjadi tanggungjawab beliau meneliti dan menambah baik usaha terbaik mendahulukan kebajikan rakyat.

“Jumlah mereka yang terkesan akibat COVID-19 meningkat dan boleh dikatakan enam daripada sepuluh rakyat berada pada kategori miskin dengan pendapatan isu rumah bawah RM4,300,” jelasnya.

“Lebih satu tahun saya berada di MPN banyak perkara perlu diberi perhatian terutama dalam menjaga kebajikan peniaga Perusahan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Mereka perlu dibantu untuk merancakkan proses pemulihan ekonomi secara menyeluruh,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button