PN Perlis umum barisan calon bertanding termasuk Shahidan Kassim
PAKATAN Nasional (PN) Perlis mengumumkan tiga calon Parlimen termasuk Datuk Seri Shahidan Kassim yang digugurkan Barisan Nasional (BN) dan 15 calon Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Shahidan akan bertanding pada Parlimen Arau.
Majlis Perisytiharan Calon PRU15 PN ini dilakukan oleh Pengerusi PN Negeri, Mohd Shukri Ramli di Kompleks PAS Kangar, malam ini.
Mohd Shukri pula akan mempertahankan DUN Sanglang dan Ustaz Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Buat julung kali terdapat seorang calon wanita tunggal iaitu Wan Badariah Wan Saad yang bertanding DUN Mata Ayer.
Bagaimanapun kata Mohd Shukri hanya calon kerusi DUN Sena dan Kayang masih belum diputuskan kerana ada masalah teknikal.
“Calon untuk dua DUN ini akan diumumkan selewat-lewatnya esok,” katanya.
Beliau berkata, calon Parlimen bagi Padang Besar pula adalah Rushdan Rusmi dan Zakri Hasan (Kangar).
Manakala calon DUN Titi Tinggi pula Ilzizam Ibrahim Adi, Haziq Asyraf (Beseri), Saad Man (Chuping) dan Muhammad Azmir (Santan).
Selain itu Fakhrul Anwar Ismail (Bintong), Pramoot Puan (Indera Kayangan) dan Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis).
Bagi DUN Pauh pula Megat Hashirat Hassan, Wan Zikri Afthar (Tambun Tulang) dan Razali Saad (Simpang Empat). – SM