PM tiba di Istana Negara
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sebuah kenderaan yang membawa Ismail Sabri dikesan memasuki pintu pagar utama istana pada pukul 3.48 petang.
Ahli Parlimen Bera itu menutup cermin keretanya dan melambai ke arah anggota akhbar yang menunggu di luar Istana Negara sejak pagi.
Awal hari ini, sumber dari Istana Negara berkata bahawa perjumpaan hari ini tertumpu pada taklimat sesi pra-kabinet mingguan serta Bajet 2023, yang akan dibentangkan esok.
Sumber itu tidak dapat di sahkan sama ada Ismail Sabri juga akan mencadangkan tarikh pembubaran parlimen.
“Ya, perjumpaan perdana menteri dengan Yang di-Pertuan Agong akan diadakan hari ini, ia adalah untuk bajet dan mesyuarat kabinet,” kata sumber itu.
Majlis Tertinggi Umno pada Jumaat (30 Sept) memutuskan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan tahun ini.
Setiausaha Agungnya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata majlis tertinggi telah menegaskan bahawa Parlimen mesti dibubarkan secepat mungkin.
Beberapa parti politik membantah keputusan itu termasuk DAP yang menyifatkan tindakan itu menjejaskan kuasa budi bicara Raja dalam soal membubarkan Parlimen serta tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.
Yang lain juga membantah PRU15 diadakan tahun ini dengan musim tengkujuh semakin hampir dan banjir mungkin melanda beberapa negeri.