PM Singapura sudah terima dos kedua vaksin Covid-19, PM kita bila?
PERDANA Menteri Singapura, Lee Hsien Loong sudah melengkapkan proses vaksinasi Covid-19 apabila menerima dos kedua vaksin keluaran Pfizer-BioNTech, di Hospital Besar Singapura, hari ini.
Bukan sahaja Singapura beberapa negara jiran yang lain juga ketua negara mereka sudah menerima suntikan vaksin tersebut.
Daripada perkembangan tersebut timbul suara-suara nakal bertanyakan bila Perdana Menteri Malaysia akan menerima suntikan tersebut? Yang bermakna proses vaksinasi Covid-19 di negara juga akan bermula secara rasmi.
Berdasarkan kenyataan kerajaan ia akan bermula pada hujung Fabruari yang disifatkan sebagai agak lambat.
Memetik laporan Bernama, Perdana Menteri Singapura itu berkata, beliau telah melengkapkan regimen penuh vaksinasi.
“Sama seperti suntikan pertama dulu, ia cepat dan tidak menyakitkan. Doktor memantau keadaan saya selama 30 minit sebagai langkah berjaga-jaga selepas itu. Sukacita untuk berkongsi bahawa saya berasa sihat,” kata Lee menerusi laman Facebooknya dengan turut memuat naik video beliau diberikan suntikan berkenaan.
Perdana Menteri Singapura itu menerima suntikan pertama dos COVID-19 Pfizer-BioNTech, pada 8 Jan lepas.
Menurut Lee, Singapura sedang mempergiatkan program vaksin dengan membuka lebih banyak pusat vaksinasi.
“Dapatkan vaksinasi anda apabila tiba giliran anda. Vaksinasi ini akan melindungi bukan hanya diri anda, malah keluarga, rakan dan semua orang yang mempunyai kontak dengan anda,” demikian nasihat Lee.
Lebih 50 individu menerima dos kedua vaksin mereka sekali gus menyempurnakan rejimen penuh vaksinasi, katanya.
Penghantaran pertama vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 tiba di Singapura pada 21 Dis tahun lepas.