PM kontak rapat, tidak hadir istiadat angkat sumpah Kabinet
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menghadiri istiadat angkat sumpah anggota Kabinet di hadapan Yang di-Pertuan Agong petang ini.
Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Ismail Sabri perlu menjalani kuarantin kendiri setelah disahkan kontak rapat kepada pesakit COVID-19.
“Sehubungan itu, Perdana Menteri tidak dapat menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Simpan Rahsia Yang Berhormat Menteri dan Yang Berhormat Timbalan Menteri Persekutuan, di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada petang ini,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan
Tambahnya, Ismail Sabri akan menyertai sambutan Hari Kebangsaan 2021 secara maya yang dijadualkan berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya esok.-SM