Politik

PM Ismail Sabri puas hati kempen berjalan lancar

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan rasa puas hati dengan kempen calon-calon daripada parti-parti lain berjalan lancar tanpa ada sebarang insiden pergaduhan atau provokasi.

Beliau berkata, bukan sahaja di Bera, Pahang tetapi semua yang bertanding di seluruh negera berjalan lancar.

“Saya ucapkan terima kasih kepada penyokong-penyokong parti semua yang bertanding. Tidak ada pergaduhan dan tidak ada provokasi.

“Saya harap situasi ini dapat diteruskan dan berterusan keharmonian berkempen sehingga 18 haribulan ini,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita ketika hadir pada Program Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Tengah Batu Papan tengah hari tadi.

Terdahulu pada sebelah pagi, Ismail Sabri yang juga calon Parlimen Bera pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) meluangkan masa merasmikan Mini Karnival Usahawan Desa (KUB) di Laman Sayong, Triang.

Pada majlis ramah mesra dengan penduduk Kampung Tengah Batu Papan, penyandang kerusi Parlimen Bera itu sempat menjamah hidangan yang disediakan oleh penduduk kampung yang menghargai kehadiran pemimpin mereka.

Kata Ismail Sabri, sepanjang berkempen selama dua minggu, selepas habis berkempen, semua akan kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

“Jadi sepanjang dua minggu berkempen ini, jangan berpecah belah antara penyokong pelbagai parti,” ujar beliau.

Dalam sidang akhbar yang sama, Perdana Menteri Ismail Sabri turut menyentuh tentang usahawan golongan muda desa.

Katanya, KUB sudah lama diwujudkan dan salah satu program yang diperkenalkan ialah perniagaan secara dalam talian atau online business.

“Ini lebih menarik minat golongan usahawan muda untuk menjalankan perniagaan secara online walaupun kita, menerusi KPLB membina KPLB Desa Mall untuk memasarkan produk masyarakat luar bandar.

“Selain itu, kita sediakan juga pinjaman untuk golongan belia berniaga,” katanya.

Usai program beramah mesra bersama penduduk Kampung Tengah Batu Papan, dilanjutkan pula ke Kampung Bukit Imam Sulong dan Kampung Kuala Triang untuk bertemu dengan penduduk.

Program Ismail Sabri hari ini akan berakhir pada sebelah malam di mana beliau akan menyantuni para penduduk Triang 1 dan Penduduk Triang 2. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button