PM Finland 34 tahun termuda di dunia: Anwar ucap tahniah anak muda
KUALA LUMPUR – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Sanna Marin yang berusia 34 dari Finland yang bakal menjadi perdana menteri termuda di dunia.
“Tahniah anak muda,” tulis Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson di Twitter beliau sambil berkongsi keratan berita sebuah portal bertajuk ‘Finland lantik PM termuda di dunia, baru 34 tahun’.
Parti Demokratik Sosial Finland (SDP), antara 5 parti yang membentuk kerajaan gabungan, memilih Marin sebagai perdana menteri termuda negara itu.
Wanita itu yang kini merupakan Menteri Pengangkutan dan Komunikasi Finland, menang tipis mengatasi Antti Lindtman, pengerusi kumpulan ahli Parlimen Parti Demokratik Sosial berusia 37 tahun, dengan keputusan undian 32-29.
Marin bakal menggantikan Antti Rinne yang meletakkan jawatannya pada Selasa setelah mendapat usul undi tidak percaya selepas gagal menguruskan masalah mogok pekerja pos negara itu.
Marin merupakan menteri pengangkutan Finland dan mula berkecimpung dalam politik sejak tujuh tahun yang lalu.
Beliau akan mula mengambil alih negara tersebut di tengah-tengah mogok pekerja selama tiga hari yang dijangka akan mengganggu pengeluaran di beberapa buah kilang utama di Finland.
Sementara itu, Twit yang dilakukan Anwar turut menarik minat pengikutnya untuk memberikan komen.
“Kalau ikut standard Malaysia ini masih dikira budak hingusan, budak pampers,” tulis Zakwan.
“Apa yang tahniahnya. Kalau dapat hat akan datang pun tua jugak,” komen AqmalKamarul
“Malu juga kita ada PM tertua,” kata Ashraf.
“Harap anak muda diberi kepercayaan dan peluang untuk menjadi PM ke-8 YB @SyedSaddiq,” cadang Zul Aziz.
“Baguslah kalau sedar,” kata Zakiyamani.
“Baguslah lantik yang muda-muda, dari yang tua-tua be*al sahaja. Buat kerjanya tidak pun,” tulis Haizal Hakim-SM