Nasional

PM bakal rasmi perhimpunan terbesar media Malaysia

PERDANA MENTERI Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengadakan pertemuan bersama wakil-wakil media bagi membincangkan berkenaan pelaksanaan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022, yang dijadual diadakan di Melaka pada 29 Mei 2022.

Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri bersetuju untuk merasmikan perhimpunan terbesar wartawan Malaysia menerusi sambutan HAWANA itu, yang sebelum ini pertama kali diadakan pada 2018.

Wakil media diketuai Presiden Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISWAMI) Datuk Mokhtar Hussain, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Roslan Ariffin, Penasihat ISWAMI Datuk Zakaria Abdul Wahab, Ketua Pengarang UtusanTV, Datuk Zulkefli Hamzah dan Ketua Pengarang Astro Awani Ashwad Ismail.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama wakil-wakil media.

Sambutan HAWANA adalah bagi menghargai golongan wartawan di Malaysia, yang disambut pada setiap 29 Mei, bersempena penerbitan pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

Pelaksanaan program itu turut melibatkan agensi, pertubuhan dan pengamal media yang lain serta menjadikan ISWAMI dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sebagai penggerak utama.

ISWAMI Malaysia juga akan mengundang 17 pemimpin utama media dari Indonesia termasuk ISWAMI Indonesia, untuk turut hadir pada program berkenaan.

ISWAMI juga merancang untuk mengundang 20 editor muda dari pelbagai agensi media di Indonesia pada program lawatan muhibbah pada Jun 2022, dalam usaha mengukuhkan lagi kerjasama strategik media Malaysia dan Indonesia, selain mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button