Nasional

CIP KPS bentuk generasi pengguna muda yang berilmu

TIMBALAN Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid telah menyempurnakan Perasmian Penutup CIP KPS Tahun 2022 Peringkat Kebangsaan yang melibatkan penyertaan sebanyak 634 sekolah terdiri daripada 2,536 pelajar dari seluruh negara di sini pada Rabu.

Program Cabaran Interaktif Pengguna Kelab Pengguna Sekolah (CIP KPS) akan menjadi platform terbaik dalam usaha membentuk generasi pengguna muda bijak, berilmu dan bertanggungjawab.

Rosol berkata, dalam berdepan situasi ekonomi global yang tidak menentu sekarang, usaha itu seiring dengan pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebung’.

“Kita perlu menggembleng pengguna muda sebagai ejen perubahan yang dilengkapi ilmu kepenggunaan seperti sosial, kewangan, ekonomi dan persekitaran semasa.

“Saya yakin satu hari nanti kerajaan tidak perlu membelanjakan peruntukan subsidi terlalu besar kerana isu inflasi dan harga barang di negara kita akan dapat diatasi dengan tuntas melalui kuasa pengguna yang jitu,” katanya.

Pada majlis itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kidurong, Sarawak telah menduduki tempat pertama manakala tempat kedua disandang oleh SMK Sri Nangka, Tuaran, Sabah, serta tempat ketiga oleh Sekolah Menengah Sains Alam Shah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

CIP KPS dianjurkan oleh KPDNHEP dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selama dua hari. Pertandingan ini berbentuk cabaran interaktif berkonsepkan explorace yang menguji kecekapan, pengetahuan dan amalan kepenggunaan.

Objektif perlaksanaan CIP KPS ialah untuk memupuk sikap kepimpinan dan nilai-nilai murni di kalangan anak-anak muda, meningkatkan pengetahuan, daya kreativiti, Inovasi dan potensi para pelajar dalam pelbagai aspek kepenggunaan menerusi metodologi yang lebih menarik.

Sementara itu, Rosol berkata, sebanyak 811,000 pengguna yang berdaftar sebagai Rakan KPDNHEP aktif di seluruh Malaysia ketika ini.

“Kita sedang melihat untuk memperkasakan semula gerakan ini dengan beberapa penambahbaikan dan nafas baharu yang sekaligus dapat menjadikan rakan KPDNHEP satu entiti sokongan sukarela yang mantap, dan dapat membantu kpdnhep menangani isu-isu kepenggunaan secara lebih berkesan.

“Kita juga berbesar hati untuk memberi sumbangan kepada peserta yang bertanding dalam CIP KPS 2022 Peringkat Akhir ini sebanyak RM100 dalam bentuk e-wallet,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button