Nasional

PKP disambung hingga 28 April

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan disambung dua minggu lagi sehingga 28 April.

Muhyiddin berkata, walaupun trend semakin positif tetapi rantaian penularan wabak COVID-19 belum dapat dihentikan sepenuhnya.

Berdasarkan situasi terkini, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan telah dapat membantu para petugas kesihatan mengawal penularan COVID-19 ke satu tahap yang agak stabil.

Menurut Muhyiddin,  PKP yang dilaksanakan dalam tempoh hampir sebulan yang lalu telah mengurangkan kebolehjangkitan dan penularan COVID-19.

Katanya, kes-kes positif COVID-19 terkawal pada kadar tujug peratus iaitu di bawah tanda aras 10 peratus yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kadar kematian akibat wabak itu di Malaysia juga rendah  iaitu 1.6% berbanding 5.8% kadar kematian di peringkat dunia.

“Namun begitu, kita tidak boleh mengambil mudah situasi yang sedang berlaku. Penularan wabak ini masih di peringkat pertengahan dan memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan yang berterusan.

“Malahan, usaha-usaha mencegah wabak ini mesti diperhebatkan lagi bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan. Ini termasuk memberi tumpuan khusus kepada kumpulan-kumpulan sasar yang dikenalpasti menjadi punca penularan wabak ini.

“Sehubungan itu, berdasarkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan pakar-pakar perubatan, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk tempoh dua minggu lagi,” kata Muhyiddin.

Menurutnya, pelanjutan tempoh itu dibuat untuk memberi ruang kepada petugas petugas kesihatan memerangi penularan COVID-19, selain mengelakkan penularan semula wabak ini dalam masyarakat.

Setakat hari ini seramai 1,830 orang pesakit atau 43 peratus  daripada jumlah yang dijangkiti telah pulih dan keluar dari hospital.

“Hari ini sahaja jumlah pesakit yang pulih ialah seramai 220 orang, melebihi jumlah kes positif baharu iaitu sebanyak 118 kes.

“Jumlah kes positif baharu juga telah menunjukkan penurunan sejak beberapa hari yang lalu. Jika
trend penurunan ini berterusan untuk tempoh dua minggu akan datang, insyaAllah kita akan dapat mengawal wabak COVID-19 ini daripada menular,” kata Muhyiddin.

BACA

Ini merupakan kali kedua PKP disambung selepas ia mula diperkenalkan pada 18 Mac lalu.

Kali pertama ia dilanjutkan ialad pada 1 April yang sepatutnya berakhir pada 14 April ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button