PKP belum tamat, esok belum ‘raya’
ORANG ramai diingatkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) belum tamat, dan persepsi bahawa esok sudah boleh ‘raya’ adalah salah.
Walaupun esok terdapat sedikit kelonggaran ekoran pelaksaaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tetapi PKP masih berkuatkuasa dengan pendekatan kepatuhan sosial dan disiplin terhadap prosedur operasi standard (SOP) dalam mengawal jangkitan COVID-19 di Malaysia.
Pendekatan SOP dalam PKPB adalah sama seperti yang diamalkan di Korea Selatan, Taiwan dan Sweden yang mampu mengawal COVID-19 tanpa melaksanakan PKP, sebaliknya menggunakan kepatuhan sosial dan disiplin yang tinggi.
“Persepsi yang menganggap kerajaan sudah tamatkan PKP dan esok kita ‘raya’ dan tidak ada PKP contohnya, adalah satu persepsi yang salah. PKP masih ada,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. pada sidang media harian COVID-19 di Putrajaya hari ini seperti yang dilaporkan oleh BERNAMA.
Dr. Noor Hisham berkata selepas melaksanakan pendekatan PKP, Malaysia menggunakan pendekatan SOP untuk mengawal COVID-19 dan kerjasama bersepadu antara kerajaan, Kementerian Kesihatan (KKM) dan rakyat adalah penting untuk menghentikan penularan pandemik itu di negara ini.
Jelas beliau, Malaysia telah melaksanakan empat fasa PKP dan berjaya melandaikan lekuk COVID-19 dan kini negara menggunakan pendekatan SOP yang menuntut pematuhan sosial dan disiplin yang tinggi daripada rakyat.
Dr. Noor Hisham berkata kelonggaran PKPB diberikan hanya kepada mereka yang boleh mematuhi SOP seperti yang ditetapkan KKM.
“Kalau ada negeri, syarikat atau perniagaan yang tidak dapat mematuhi syarat-syarat PKPB yang ditetapkan KKM, maka mereka kembali kepada arahan PKP yang mengguna pakai Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).
“Mereka yang rasa tidak dapat mematuhi SOP, kita nasihat kekal duduk di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting sahaja,” katanya.
Dr. Noor Hisham berkata, KKM juga sedang melihat kaedah untuk memantapkan perkhidmatan kepada warga emas yang dikenal pasti kumpulan berisiko tinggi untuk jangkitan COVID-19, termasuk memberikan rawatan di rumah.
Sementara itu, mengulas mengenai kluster baharu iaitu kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur, Dr. Noor Hisham berkata, KKM sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada kluster itu berpunca daripada kluster-kluster yang lain.
Menurutnya, kesemua 28 kes positif di bawah kluster itu juga melibatkan warga asing yang mungkin tinggal dalam satu penempatan yang sama.
“Kami dapati individu yang terlibat dalam kluster ini mereka mungkin duduk sekali dalam satu bilik kediaman.
“Siasatan masih kami jalankan untuk kenal pasti sama ada mereka ada kaitan dengan kluster tertentu. Setakat ini tiada bukti kukuh untuk kami kaitkan (kluster pembinaan) dengan kluster tertentu,” katanya.