fbpx
Ekonomi

SPH sahkan anak syarikat majalah di Malaysia tamat operasi

SINGAPORE Press Holdings Ltd (SPH) hari ini mengesahkan bahawa anak syarikatnya di Malaysia dengan 70 peratus kepentingan, Blu Inc Holdings Malaysia (BIHM) Group yang juga penerbit majalah telah menamatkan operasi pada 30 April, 2020.

SPH berkata perniagaan majalah di Malaysia yang beroperasi secara bebas di bawah entiti BIHM Group, hanya mewakili sebahagian kecil daripada keseluruhan perniagaan Kumpulan SPH.

“Perniagaan itu telah merosot sejak beberapa tahun lepas akibat penyusutan pendapatan serta (angka) edarannya,” katanya dalam kenyataan sebagai menjawab pertanyaan media seperti yang dilaporkan oleh BERNAMA.

Menurut SPH, berikutan penularan pandemik COVID-19, adalah sukar untuk menentukan aspek tempoh serta impak terhadap perniagaan majalah di Malaysia.

Penamatan operasi itu bagaimana pun tidak memberi sebarang impak material kepada pendapatan atau aset ketara bersih SPH sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos, 2020.

BluInc merupakan sebuah syarikat penerbitan majalah terbesar negara yang sudah beroperasi sejak 1974 dan telah menerbitkan beberapa majalah terkenal antaranya CLEO, Cosmopolitan, Female, Glam Deko, HerWorld, Jelita, Marie Claire, Harper’s Bazaar, EH! dan Glam.

Ketua Pengarah Eksekutif BluInc, Azliza Tajuddin berkata, penutupan operasi penerbitan cetak dan digital berlaku disebabkan cabaran digital dan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda seluruh dunia.

Menurutnya, Lembaga Pengarah memutuskan menghentikan operasi bahagian cetak dan digital BluInc.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya berkata, penutupan operasi majalah tempatan BluInc Media Sdn Bhd versi cetak dan digital membuktikan organisasi penerbitan majalah dan akhbar di negara ini sedang menghadapi tekanan kritikal.

Menurutnya, keadaan itu berlaku kerana pembaca dan pengiklan mula beralih kepada medium digital.

“Saya berpendapat BluInc sudah sampai ke tahap kritikal dan pasaran majalah di pasaran terbuka merosot mungkin pembaca sudah beralih ke online. Bagaimanapun, di online ini saya tidak pasti sama ada mereka mengenakan bayaran atau tidak,” katanya kepada Sinar Harian.

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button