Nasional

PKP 3.0: Rintihan pengusaha bot pancing rekreasi Mersing

Tidak boleh turun ke laut menangkap ikan

PENGUSAHA bot pancing rekreasi di Mersing, Johor buntu memikirkan nasib mereka dalam keadaan perlu menjalani kehidupan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan 3.0  (PKP 3.0) disebabkan oleh wabak Covid-19.

Kelompok pengusaha bot pancing rekreasi ini dilihat sebagai golongan terpencil yang juga terjejas pendapatannya kerana mereka tidak boleh membawa pelancong dalam tempoh PKP 3.0 yang bersambung sehingga 28 Jun ini.

Apatah lagi untuk membawa penumpang rentas negeri kerana semua itu mustahil untuk dilakukan dalam tempoh PKP 3.0.

Sebagai pengusaha bot pancing rekreasi, mereka boleh sahaja turun ke laut memancing untuk mencari rezeki bagi menyara hidup tetapi tidak dibenarkan.

Wartawan SUARA MERDEKA  dimaklumkan berhubung kebimbangan kelompok ini kerana pengusaha bot pancing rekreasi hanya mempunyai lesen dari Jabatan Laut dan tidak seperti nelayan.

Oleh itu, jelaslah mereka ini tidak boleh memancing dan keadaan itu memutuskan punca pendapatan selain mendakwa, tidak menerima sebarang bantuan.

TIGA bot pancing rekreasi milik Pak Ngah Yan Gelora di Mersing, Johor yang tersadai kerana tidak boleh dijadikan bot untuk menangkap ikan sepanjang PKP 3.0.

Alpian Anas atau lebih dikenali dalam kalangan masyarakat setempat di Mersing sebagai Pak Ngah Yan Gelora merupakan salah seorang pengusaha bot pancing rekreasi di Mersing yang berjaya dihubungi sebentar tadi.

Menurut beliau, dia mempunyai lesen dari Jabatan Laut tetapi lesen itu lebih kepada kebenaran untuk operasi pancing rekreasi dan bukan sebagai nelayan.

“Sejak PKP tahun lepas, pendapatan kami terjejas. Saya sendiri mempunyai tiga buah bot dengan enam orang awak-awak tetapi kami tidak boleh membawa penumpang atau pelancong,” katanya memulakan perbualan.

Kata Pak Ngah Yan, beliau tidak sampai hati untuk membuang para pekerjanya dan masih menanggung para pekerja sedangkan dirinya sendiri, tidak mempunyai pendapatan dan buntu memikirkan, di manakah mahu mencari duit untuk membayar para pekerjanya.

“Ini tahun keduia kita PKP dan terus terang saya katakan di sini bahawa saya sudah tidak mampu untuk menanggung kos pekerja.

“Walaupun ada lesen tetapi bot tidak boleh beroperasi. Untuk tahun lepas, kami cuma dapat beroperasi selama tiga bulan sahaja.

“Dapat jalan tiga bulan itu, dapatlah kerja tetapi terpaksa kurangkan 50% penumpang dan kurangkan harga. Tidak mengapalah asalkan bot boleh jalan sehinggalah bulan Oktober dan November yang masuk tengkujuh,” katanya sambil menambah, selama empat bulan sehingga Februari tahun ini, bot-botnya tidak boleh beroperasi.

Kata Pak Ngah Yan lagi, durasi bot beroperasi amat sekejap sebelum PKP bersambung.

Beliau berkata, tanpa adanya bantuan atau inisiatif daripada mana-mana pihak, mereka cuba memohon kebenaran daripada Jabatan Laut Mersing agar membolehkan mereka keluar memancing sendiri.

Rasionalnya, kalau dibenarkan, kata beliau, sekurang-kurangnya pengusaha bot pancing rekreasi dan awak-awak dapat mencari hasil di laut untuk dijual ataupun bagi kegunaan sendiri.

“Sekarang ni, nak cakap macam mana pun susah. Tak dapat nak cover kerana tidak ada pendapatan. Kami terus tidak dibenarkan keluar atas alasan untuk sara hidup sekalipun.

“Kalau tanya polis, kami diberitahu, boleh keluar tiga orang tetapi Jabatan Laut tidak benar. Jabatan Perikanan tak kasi keluar. Kalau kena tangkap, kena bayar saman, kena bayar kompaun dan pengusaha bot kalau dikompaun atau disaman, kena bayar sekurang-kurangnya RM5,000. Dahlah tak boleh nak cari rezeki. Tak kan nak bayar denda atau kompaun pula,” ujar beliau.

Usai bercakap dengan SUARA MERDEKA, Pak Ngah Yan Gelora menyatakan begini: “Harapan saya, mintalah badan-badan berkaitan, agensi, Jabatan Laut atau Jabatan Perikanan bagi kelonggaran supaya kami boleh ke laut mencari rezeki untuk menyara hidup.

“Kita faham pandemik Covid-19 ni macam mana. Nak putuskan rantaian ni. Kalau kami tak boleh keluar, macam mana pula? Susah kami.

“Tahun ini, kami dapat buat kerja sebulan sahaja dan sekarang sudah pertengahan tahun. Selepas ini, kami tak dapat buat apa dah.

“Memang tahun ini, kami dapat bekerja sebelum bulan Ramadan lalu iaitu sebelum PKP 3.0 diumumkan dan selepas itu, hanya orang Johor sahaja yang boleh naik bot untuk trip rentas daerah sahaja,” katanya yang hilang pendapatan sebanyak RM10,000 sebulan termasuk kos menanggung para pekerja (awak-awak), penyelenggaraan tiga bot dan sebagainya.

Atas dasar perikemanusiaan, Pak Ngah Yan Gelora berkata, walaupun para pekerjanya berjumlah enam orang akan diberi gaji mengikut trip atau istilahnya, ada kerja ada gaji, tiada kerja, beliau tidak akan membiarkan mereka lapar. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button