Pinjaman perumahan tinggi, rumah PPR mahal
KERAJAAN disaran memberi keutamaan menyelesaikan isu kadar faedah pinjaman perumahan yang tinggi serta menangani masalah rumah tidak terjual menerusi Bajet 2023, yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini.
Memetik laporan BERNAMA, Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Ahmad Hariza Hashim, berkata kadar faedah yang dikenakan buat masa ini kepada peminjam, terutama golongan B40 dilihat sangat tinggi, malah harga rumah seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) masih mahal serta di luar kemampuan mereka.
Beliau berkata, golongan terbabit perlu diberi bantuan kewangan atau pengurangan kadar faedah pinjaman atau sebaiknya, diberi kemudahan kadar faedah bebas untuk bagi memudahkan mereka memiliki rumah.
“Kerajaan juga perlu memperluaskan skim Rumah Sewa Untuk Beli (RTO) bagi unit rumah tidak menerusi bantuan kewangan atau pinjaman, dengan kadar faedah lebih rendah kepada individu yang berminat membeli unit rumah tidak terjual.
“Banyak rumah tidak terjual seperti dilaporkan pada Julai lalu, ,35,592 unit rumah termasuk lebih 10,000 unit rumah Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang tidak terjual.
“Maka, konsep RTO wajar diperluaskan untuk rumah yang tidak terjual ini kerana ia sudah dalam pasaran, sekali gus dapat membantu atau menawarkan pengurangan beban kewangan kepada pemaju,” katanya sambil menambah kerajaan juga perlu memberi insentif khas kepada pemaju yang mengamalkan skim RTO.
Sementara itu, Peguam Hartanah dari Tetuan Nazri Azmi Islinda, Datuk Nazri Mustafa, menyarankan kerajaan mengawal harga rumah serta bahan binaan.
Beliau berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu membuat penilaian sendiri terhadap sesuatu projek perumahan, dengan memastikan harga jualan rumah daripada pemaju mengikut pasaran sebenar sebelum memberi kelulusan kepada pemaju.
“Ini kerana ada amalan rebat oleh pihak pemaju yang diberikan kepada pembeli untuk memastikan jumlah pembiayaan dapat diperoleh lebih daripada harga jualan rumah sebenar.
“Namun, situasi ini menjadikan ansuran bulanan lebih tinggi berbanding harga asal sehingga ada unit yang baru disiapkan sudah pun tersenarai untuk dilelong,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya KPKT mengehadkan kelulusan projek perumahan untuk mengurangkan penawaran berlebihan, sekali gus mengurangkan jumlah unit rumah tidak terjual di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Max Capital Management Holdings Ltd, Max Shangkar, pula berkata, kerajaan boleh memperuntukkan bajet dalam program perumahan dengan memfokus penyediaan rumah bagi rakyat yang tidak mempunyai rumah atau mereka yang menyewa rumah.
“Ini boleh dicapai dengan kerjasama antara pemilik tanah atau pemaju untuk membina lebih banyak rumah mampu milik, yang berkualiti di lokasi yang sesuai.
“Malah, dengan belanjawan sedia ada, kerajaan boleh memudahkan proses rakyat untuk membeli atau menyewa rumah.
“Contohnya, kerajaan melaksanakan program membantu golongan B40 yang membeli rumah pertama tanpa wang pendahuluan. Bantuan kewangan juga boleh dihulurkan kepada golongan yang memerlukan untuk membeli atau menyewa rumah,” katanya. – SM