NasionalNegeri

PICKids Perlis: Kanak-kanak tak gentar terima suntikan

HENDAK juga lihat lebih dekat muka takut atau merengek-rengekkah kanak-kanak ketika menerima dos pertama vaksinasi pada  Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) yang bermula hari ini di Perlis.

Ternyata anggapan ini meleset kerana masing-masing dilihat menunjukkan sikap bersahaja sebagai menandakan “berani” hendak menerima suntikan.

KUMPULAN pertama kanak-kanak yang menerima suntikan pada Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids), Perlis bergambar kenangan.

Semangat berkobar-kobar kanak-kanak ini diperkuatkan dengan hadirnya ibu bapa atau penjaga masing-masing di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Masjid Alwi, Kangar petang ini.

Tinjauan SUARA MERDEKA mendapati, sesekali ibu bapa atau penjaga yang meneman anak-anak masing-masing dilihat tidak jemu-jemu memberikan kata-kata semangat.

Kanak-kanak berkenaan juga bergerak sendiri ke tempat disuntik, mendengar sedikit penerangan dan kembali kepada penjaga dengan tenang selepas menerima suntikan vaksin.

Dua beradik Nur Khaireena Amani Mohd. Hafeez dan Muhammad Haseef Imran diteman penjaga mereka, Mohd. Zukime Junoh di PPV Masjid Alwi, Kangar, Perlis.

Wartawan SHOLINA OSMAN mengambil kesempatan mendekati dua adik beradik, Nur Khaireena Amani Mohd. Hafeez, 12 dan Muhammad Haseef Imran, 11, yang memberikan reaksi cukup tenang dan bersahaja.

Kedua-dua mereka ini adalah pelajar di Sekolah Kebangsaan(SK) Seri Indera, Kangar, memberitahu, mereka tidak takut dengan suntikan jarum.

Antara kanak-kanak yang hadir di PPV Masjid Alwi di Kangar, Perlis

Nur Khaireena dan adiknya ditemani penjaga mereka, Mohd. Zukime Mohd. Junoh, 45.

Mohd. Zukime berkata, sejak awal lagi beliau telah mendaftar nama dua kanak-kanak ini untuk memastikan mereka selamat dari penularan pandemik Covid-19.

“Hati lega apabila mereka sudah divaksin. Lepas ni kita tunggu dos kedua pulalah,” katanya.

Puteri Alia Kamelia Nurul Amri

Sementara itu, seorang lagi penerima suntikan vaksin Covid-19, Puteri Alia Kamelia Nurul Amri, 11, pelajar SK Sena juga tidak menunjukkan sebarang reaksi takut atau sakit sejurus disuntik.

Gelagatnya riang dan beliau mahu gambarnya dirakam sebagai tanda dirinya sudah divaksin.

Ayahnya, Nurul Amri Ahmad, 43 berkata, anak ketiga dari empat beradik itu memang berani.

Beliau juga memberitahu, tidak berlengah untuk mendaftar nama anaknya itu pada PICKids ini supaya anaknya terlindung dan selamat dari penularan pandemik Covid-19 yang sekarang ini sedang berhadapan dengan gelombang varian Omicron. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button