PH yakin dapat muktamadkan keputusan rampas semula Putrajaya
PAKATAN Harapan (PH) yakin mereka akan dapat memuktamadkan keputusan untuk merampas semula Putrajaya dalam tempoh seminggu lagi.
Majlis Pimpinan PH yang bermesyuarat hari ini telah menampakkan kemajuan untuk mencapai keputusan tersebut bagi mengambil alih kerajaan kini yang diterajui Perikatan Nasional (PN) dalam tempoh seminggu ini.
Kenyataan bersama kelima-lima pemimpin parti komponen PH memberitahu, perbincangan mengenainya hari ini berjalan lancar tanpa sebarang perbalahan dan perbezaan pendapat.
“Mesyuarat hari ini telah menyaksikan perbincangan secara menyeluruh tentang pendirian setiap parti dan menampakkan kemajuan yang amat positif.
“Proses memuktamadkan segala keputusan akan dilakukan dalam masa seminggu ini,” demikian menurut kenyataan bersama tersebut yang dikeluarkan hari ini.
Mesyuarat majlis tersebut yang diadakan di ibu pejabat PKR di Merchant Square Petaling Jaya itu dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum itu Dr. Mahathir dan Anwar telah mengadakan pertemuan tertutup dengan Anwar yang bermula pada pukul 3 petang.
Antara yang hadir ialah Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Bagaiamanpun mesyuarat kira-kira tiga jam itu tidak mempunyai sebarang kata putus, dengan Dr. Mahathir hanya berdiam diri apabila ditanya pemberita ketika beredar pada pukul 6.20 petang.
Sementara itu Malaysiakini melaporkan, PH dan sekutunya yang digelar sebagai ‘PH plus’ dikatakan mencapai persetujuan bersama berhubung calon perdana menteri mereka.
Hal itu berdasarkan jawapan daripada salah seorang pemimpin Bersatu, Datuk Marzuki Yahya ketika ditemui media di Ibu Pejabat PKR itu.
Ketika ditanya media sebanyak dua kali mengenai hal itu, Marzuki menjawab: “Ya”.
Menurut Malaysiakini,k beberapa pemimpin PH mahukan Dr. Mahathir dinamakan sebagai perdana menteri sekali lagi walaupun Anwar kini mengetuai gabungan itu.
Keadaan itu dikatakan membuatkan Anwar marah yang kemudian memilih untuk tidak menghadiri mesyuarat dengan Dr. Mahathir.
Ini termasuk mesyuarat di bangunan Yayasan Al-Bukhary minggu lalu, yang dihadiri oleh Guan Eng, Mohamad Sabu, Mohd Shafie dan lain-lain.