Politik

PH tangguh umum nama bakal PM, Anwar mohon maaf

PRESIDEN PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf kerana Pakatan Harapan (PH) Plus yang berjanji untuk mengumumkan bakal pemimpin negara terpaksa menangguhkannya.

PH Plus merupakan gabungan PH dengan ahli-ahli parlimen Bersatu yang tidak bersama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kerajaan yang memihak kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Malalui siaran langsung di Facebook, Anwar berkata, sebagai satu gabungan pakatan itu sebenarnya sudah mempunyai keputusan berhubung perkara itu.

Tetapi katanya, perlu merujuk kepada rakan gabungan yang lain termasuk Warisan dan Bersatu di bawah pimpinan Dr. Mahathir.

Katanya, itu  untuk memastikan keutamaan PH memastikan agenda perubahan ekonomi rakya dan urus tadbir yang bakal dilaksanakan adalah lebih baik daripada apa yang pernah mereka lakukan semasa menjadi kerajaan selama 22 bulan.

“Kita kena memastikan apa yang baik itu adalah lebih bajk dari yang pernah kita lakukan kerana pengalaman kita telah menunjukkan bahawa untuk meraih dokongan rakyat itu kita hadapai juga sedikit masalah,” katanya.

Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, PH mahu membetulkan pelanggaran hukum dan kebobrokan yang didakwa berlaku dalam sistem sekarang terutama dalam perundangan dan kehakiman yang dilihat melepaskan golongan kaya dan mendera golongan kecil.

Beliau juga ketua pembangkang di Parlimen, pengambilalihan kuasa melalui pintu belakang oleh Perikatan Nasional (PN) menyebabkan kepincangan itu.

Oleh itu katanya, perubahan yang direncanakan bakal berlaku dalam masa terdekat ini adalah besar dan harus disegerakan.

Walaupun mahu segera katanya, PH mesti memastikan tidak mengorbanan prinsip di mana setiap keputusan mestilah berpaksikan kepada agenda membawa perubahan kepada negara dan memberi keyakinan kepada pelabur.

Semalam PH dijadual mengumumkan nama perdana menteri yang akan menerajui negara apabila gabungan parti itu mendakwa telah mendapat sokongan majoriti untuk ‘merampas’ pemerintahan negara daripada Perikatan Nasional.

Bagaimanapun Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perbincangan masih belum dimuktamadkan dan akan diumumkan selepas keputusan dicapai.

“Perbincangan mengenainya masih lagi berjalan dalam kalangan parti pembangkang.

“Pihaknya menghormati pandangan dan komen pelbagai mengenai perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.  -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button