Politik

PRU-15: Pemuda UMNO akan gerakkan jentera pilihanraya

PERGERAKAN Pemuda UMNO akan mula menggerakkan jentera pilihanrayanya di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki PRU-15 tidak dapat dielakkan kerana kedudukan Kerajaan Pusat pimpinan Perikatan Nasional berterusan diasak dan digasak oleh pembangkang.

Jelas beliau PRU sentiasa menjadi pilihan terakhir Pemuda UMNO kerana keadaan rakyat yang susah dan makin resah dengan bebanan sara hidup.

Malah ramai yang mula kehilangan punca pendapatan akibat wabak Covid-19 sehingga memaksa pelaksanaan Perintah Kawalan pergerakan.

“Hakikatnya, prasyarat terpenting untuk memulih dan menjana kembali ekonomi negara termasuk mengembalikan keyakinan dan kepercayaan pelabur dalam dan luar negara adalah kestabilan politik.

Namun, jika negara berterusan dalam keadaan tidak ketentuan akibat kerajaan yang tidak stabil lantaran ‘tawar-menawar’ dan ‘jual-beli’ Ahli-Ahli Parlimen masih berterusan, maka PRU adalah jalan terakhir untuk diserahkan kembali mandat kepada rakyat,” kata Asyraf Wajdi.

Ketika ini berlaku perang psikologi di pihak pembangkang apabila meuar-uarkan mempunyai majoriti sokongan Ahli Parlimen untuk merampas kembali Kerajaan Persekutuan yang hilang daripada penguasaan mereka sejak bulan Mac lalu.

Malah berlaku perang di media sosial dalam kalangan pemimpin pembangkang mengenai siapa yang lebih layak antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadi Perdana Menteri ke-9 sekiranya Pakatan Harapan berjaya mengambil alih Dewan Rakyat.

Antaranya termasuk Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad semalam yang menegaskan tidak adil untuk memaksa Anwar yang juga Presiden PKR menerima Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon PM-9.

Beliau juga berkata, adalah juga tidak adil untuk memaksa Anwar selepas apa yang dilalui oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebelum ini.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu juga berkata, sehingga kini Anwar dilihat calon terbaik sebagai Perdana Menteri seterusnya untuk permulaan baru Malaysia.

“Malaysia perlukan permulaan baru, kerajaan bersih yang fokus untuk ekonomi yang lebih adil dan saksama untuk semua rakyat. Calon terbaik adalah Anwar Ibrahim,” kata Nik Nazmi.

Sebelum itu Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr. Maszlee Malik berkata, rundingan Pakatan Harapan untuk ambil semula kerajaan daripada Perikatan Nasional dan memilih Perdana Menteri ke-9 tidak harus dengan keyakinan bahawa PM ke-9 merupakan hak mutlak Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dasar nombor.

Kata beliau, hakikat yang jelas, tanpa Tun Dr Mahathir Mohamad peluang untuk PH mengambil semula kerajaan adalah sangat tipis bahkan mustahil.

Maszlee berkata, PH tidak boleh berharap kepada kemampuan Presiden PKR itu sahaja.-SM

(Visited 177 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button