Nasional

Sistem syif: Persatuan berkaitan perubatan mahu jumpa PM

PERSATUAN berkaitan berkaitan perubatan membantah sekeras-kerasnya pelaksanaan sistem syif baharu di klinik kerajaan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Malah mereka meminta Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin campur tangan bagi menyelesaikan isu itu.

Dalam kenyataan bersama, persatuan terbabit berkata keputusan melibatkan petugas perlu diberi perhatian yang serius kerana mereka merupakan tonggak dan penyumbang utama ke arah kejayaan perancangan organisasi.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam, Persatuan Farmasi Malaysia, Persatuan Jururawat Malaysia, Kesatuan Jururawat Malaysia dan  Kesatuan Pemandu-Pemandu Kementerian Kesihatan Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, tinjauan dalam talian mengenai perkara tersebut oleh MMA dari 22 hingga 28 Mei lepas menunjukkan 92 peratus daripada 9,320 responden membantah pelaksanaan sistem berkenaan.

Menurut kenyataan itu, sistem tersebut dibantah atas faktor kekurangan tenaga kerja serta infrastruktur yang memerlukan penilaian dan penyelidikan terperinci bagi memastikan pelaksanaan yang lancar.

Pada 15 Jun BERNAMA melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebagai berkata, cadangan kementerian untuk melaksanakan sistem syif di klinik kesihatan seluruh negara akan mengambil kira sumber manusia dan pertambahan jawatan, kata

Beliau berkata cadangan itu dilihat KKM untuk mengurangkan kesesakan dan memanjangkan waktu perkhidmatan.

“Tetapi sebelum pelaksanaan kita perlu lihat kepada sumber manusia warga KKM dan pertambahan jawatan supaya dapat melaksanakan dua syif. Jadi kita kena lihat dan akan dilaksanakan cara perintis dahulu untuk beberapa klinik kesihatan dan keperluan di klinik itu,” katanya dalam sidang media COVID-19, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang meminta KKM menangguhkan usaha melaksanakan sistem syif di klinik kesihatan sehingga perbincangan bersama kesatuan dan pihak berkepentingan diadakan.

Dr Noor Hisham berkata pihak kementerian amat memahami kesukaran melaksanakan dua syif dengan sumber manusia sedia ada di mana pegawai kesihatan itu terpaksa bertugas dari pagi sehingga malam.

“Yang penting kena melihat kepada pelaksanaan… isu ini ialah isu pelaksanaan. Cadangan itu baik tetapi isu pelaksanaan harus diketengahkan dan berbincang dengan agensi-agensi yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, mengenai kes positif COVID-19 melibatkan seorang tukang gunting rambut warga Pakistan di ibu negara, Dr Noor Hisham berkata seramai 31 kontak rapat telah disaring dengan 29 didapati negatif dan dua lagi masih menunggu keputusan.

“Kita dah laksana ujian, 29 didapati negatif dan dua lagi masih menunggu keputusan jadi setakat ini kita tiada kluster gunting rambut, hanya ada satu kes positif,” katanya.

(Visited 257 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button