NasionalPolitik

PH retak menanti belah

SATU pertemuan antara Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan kira-kira 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dilaporkan berlangsung di kediaman Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu di Putrajaya malam tadi.

Turut terlibat dalam perjumpaan tersebut adalah beberapa menteri kanan Kabinet.

Cakap-cakap politik ialah ia diadakan bagi
menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dikritik teruk berikutan kekalahan di Tanjung Piai baru-baru ini.

Namun, ada juga yang mendakwa pertemuan itu sekadar ‘jemputan biasa’ atau memenuhi undangan makan malam semata-mata.

Yang pasti, pemerhati politik semakin yakin usaha-usaha tersebut diambil berikutan ‘desakan’  meletak jawatan Perdana Menteri yang kini masih dipegang oleh Dr. Mahathir.

Bagi penganalisi politik bebas, Raja Petra Kamarudin, langkah Mohamed Azmin mengadakan pertemuan itu sangat perlu untuk menghalang usaha ‘menggulingkan’ Dr. Mahathir.

“Sekiranya (Mohamed) Azmin mendapat sokongan daripada 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional dan bergabung dengan kumpulan pro-Mahathir di Pakatan Harapan, apa-apa percubaan untuk mengguling Mahathir dan menggantikannya dengan Anwar akan gagal,” katanya yang dipetik sebuah portal berita.

Perpecahan yang berlaku dalam pimpinan Pakatan Harapan (PH) kian ketara dengan wujudnya kumpulan yang terus menyokong kepimpinan Dr. Mahathir dan mereka yang mahu agar jawatan itu segera dilepaskan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kekalahan demi kekalahan yang menimpa Bersatu dalam beberapa siri pilihan raya kecil kebelakangan ini memudahkan desakan supaya Dr. Mahathir segera melepaskan jawatannya.

Dalam masa sama, pelbagai isu dan masalah negara terus cuba ditangani Pengerusi Bersatu tersebut, walaupun sukar mendapat kerjasama.

Hutang negara yang semakin bertambah, dakwaan penglibatan beberapa pemimpin kerajaan dalam aktiviti pengganas, sikap menteri yang ‘kurang cerdik’ dalam menjawab persoalan dan keegoan yang ditunjukkan mereka, menyumbang kepada kelemahan pentadbiran.

Namun, menurut Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Sivamurugan Pandian, ini bukan masa yang sesuai untuk membenarkan peralihan kuasa di negara ini.

Sebaliknya beliau berpendapat, kelemahan PH perlu diperbetulkan terlebih dahulu dan transisi harus berlaku secara tersusun dan lancar.

“(Mohamed) Azmin memerlukan sokongan majoriti dan ramai sudah menyuarakan sokongan kepada Tun Mahathir tidak lama dulu.

“Ini penting untuk tidak menggugat kestabilan negara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Peralihan kuasa semata-mata tidak akan mampu untuk mengembalikan kestabilan politik negara.

Parti-parti gabungan PH wajar bermuhasabah diri dan meletakkan kepentingan rakyat dalam carta teratas keutamaan mereka, bukan politiking.

Yang paling penting, adalah kerjasama dan masing-masing membuktikan keupayaan.

“Saya percaya Datuk Seri Anwar juga sudah melalui pelbagai pengalaman dan ini akan memastikan beliau bergerak secara lebih rasional walaupun penyokong beliau emosional dan mahukan peralihan segera,” kata Sivamurugan.

Dalam hubungan ini, keputusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai yang menyaksikan BN menang dengan majoriti besar boleh diumpamakan sebagai mimpi ngeri kepada PH.

Menerusi keputusan itu, rakyat memberi mesej jelas bahawa mereka tidak mampu lagi menunggu lebih lama untuk terus berharap.

Janji untuk mengurangkan beban hidup dan mentadbir negara dengan lebih berhemah, malangnya hanya tinggal janji, menyumbang kepada kemarahan pengundi dan rakyat.

Mungkin ini juga adalah kerana kegagalan ‘turun padang’ dalam mengenal pasti calon dan ‘membaca’ suhu politik tempatan sebelum ini.

Seperkara lagi yang perlu diambil kira oleh PH adalah ‘melupakan’ kisah lalu sebaliknya terus fokus kepada usaha memenangi hati rakyat.

Sedarlah bahawa terlalu banyak bernostalgia tidak akan membawa kita ke mana-mana.


PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button