Politik

PH mahu undi tidak percaya terhadap PM disegerakan

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa agar Kerajaan menyegerakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin di Dewan Rakyat.

Menurut majlis itu, kerajaan perlu mengutamakan usul yang telah dibawa oleh ahli-ahli Parlimen dalam sidang Parlimen yang berlangsung sehingga 17 Disember ini.

Gesaan itu dibuat berikutan penurunan penarafan Malaysia dari AAA- ke BBB+ pada 4 Disember oleh Fitch Ratings yang menjadi tamparan hebat buat Kerajaan Perikatan Nasional khususnya Menteri Kewangan

“Ia menampakkan kegagalan perancangan dasar serta tatakelola kerajaan, lanjutan dari ketidaktentuan politik yang berlarutan sejak perubahan Kerajaan pada Mac lalu.

“Kesan penurunan penarafan ini terhadap ekonomi negara masih belum dapat ditentukan sepenuhnya, namun apa yang jelas adalah langkah-langkah yang diusahakan Menteri Kewangan selama ini telah gagal memberi keyakinan sehingga berlakunya penurunan penarafan yang cukup serius ini,” katanya.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang diadakan hari ini. Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Menurutnya, Muhyiddin seharusnya mengangkat prinsip ketelusan dan tatakelola yang baik dengan pelaksanaan langkah-langkah seperti tender terbuka dan pelantikan profesional bukannya ahli-ahli politik ke dalam syarikat berkaitan kerajaan.

“Malangnya, ini tidak berlaku di bawah pentadbiran sedia ada.

“Oleh itu, demi menamatkan spekulasi berkaitan ketidaktentuan halatuju politik, merancakkan semula pertumbuhan ekonomi, dan mengembalikan keyakinan terhadap pentadbiran negara, Majlis Presiden Pakatan Harapan berpendirian bahawa kerajaan perlu menyegera dan mengutamakan usul undi tidak percaya yang telah dibawa ahli-ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sehingga 17 Disember,” katanya.

Untuk rekod ahli Parlimen Pakatan Harapan telah melakukan percubaan sebanyak empat kali untuk menggagalkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi empat kementerian dengan mengusulkan undi belah bahagi di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun kesemua percubaan undi belah bahagi itu gagal dengan Pakatan Harapan memperoleh undi terendah sebanyak 94 pada hari ini bagi Kementerian Pengangkutan dan tertinggi pada Khamis lalu sebanyak 104 undi bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Sebanyak 10 RUU Perbekalan bagi 10 kementerian telah lulus sepanjang perbahasan, penggulungan dan usul anggaran pembangunan berlangsung sejak 30 November lalu sehingga Dewan Rakyat ditangguhkan jam 4 petang tadi.-SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button