PGA Tawau rampas rokok haram bernilai lebih RM3 juta
PASUKAN Gerakan Am (PGA) berjaya merampas 23,970 karton rokok haram pelbagai jenama bernilai RM3,390,204 di Jalan Sri Aman, Batu 3, Tawau, semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion ke-14 PGA, Supt. Mohd. Yacob Murad berkata, rampasan itu dibuat dalam operasi pada pukul 4.30 pagi di satu premis industri iaitu lokasi rokok itu disembunyikan.
“Kesemua rokok seperti jenama MILD, Extreme, Apache dan Tex yang tidak bercukai itu dijumpai disimpan di dalam kotak.
“Rokok-rokok itu untuk edaran pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seorang lelaki berumur 38 tahun yang juga pemegang dokumen IMM13 turut ditahan, dipercayai menjadi tonto untuk mengintip pergerakan kenderaan keluar masuk ke premis terbabit.
Mohd. Yacob berkata, pihaknya turut merampas satu set walkie talkie, satu unit telefon bimbit dan van Toyota Hiace dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai kira-kira RM3,470,204. – SM