Nasional

Petugas stesen minyak Petronas di Melaka pakai tanjak

JANGAN terkejut apabila mengisi minyak di mana stesen minyak Petronas di negeri ini, anda
akan dilayan petugas memakai tanjak.

Itu adalah kaedah terbaharu diperkenalkan bagi 25 buah stesen minyak Petronas di negeri ini dalam usaha menampilkan keunikan bagi menarik minat pelanggan.

Pemakaian tanjak bagi semua petugas di stesen minyak milik Petronas itu mula diperkenalkan adalah pada setiap hari Sabtu bermula minggu lalu.

Sejak diperkenalkan ia mendapat maklum balas memberangsangkan daripada pelanggan yang rata-rata daripada mereka melahirkan rasa teruja dengan langkah buat petugas memakai tanjak.

Pengurus Kawasan Petronas Dagangan Berhad negeri Melaka, Mohd. Asyraf Zainal berkata, usaha memperkenalkan pemakaian tanjak kepada petugas di seluruh stesen minyak di negeri ini bukan sahaja bertujuan bagi menarik minat pelanggan semata-mata.

Menurutnya, paling penting usaha tersebut adalah untuk membantu sektor pelancongan di negeri ini melalui pemakaian tanjak ia akan nampak menarik serta unik.

“Ini adalah usaha pertama stesen minyak Petronas di negeri ini memperkenalkan pemakaian tanjak ini
memandangkan Melaka terkenal dengan sejarah silam Kesultanan Melayu Melaka terawal.

“Sejak bermula Sabtu lalu, saya mendapat maklum balas yang baik daripada pelanggan yang menyambut baik usaha petugas di stesen minyak memakai tanjak.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha Petronas untuk membantu kerajaan negeri yang kini giat mempromosikan sektor pelancongan,” ujarnya di sini hari ini.

Mohd. Asyraf berkata, usaha tersebut juga adalah salah satu untuk menarik minat pelanggan mengenai keunikan stesen minyak Petronas berbanding dengan yang lain.

Menurutnya, selain pemakaian tanjak, pihaknya bercadang untuk memperkenalkan pakaian tradisional bagi menambah keunikan kepada petugas.

Bagaimanapun katanya, jenis pakaian yang dicadang untuk digunakan itu perlu melalui perbincangan daripada pakar-pakar mengenai kesesuaiannya memandangkan petugas bekerja berhampiran dengan bahan yang mudah terbakar.

“Ini memerlukan masa dan faktor-faktor keselamatan paling diutamakan. Insyallah jika diluluskan kita akan memperkenalkan pakaian baharu untuk digunakan di seluruh stesen minyak Petronas di negeri ini,” ujarnya. – SM Melaka

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button