Kemalangan

Pemandu mabuk sebabkan kematian suami isteri direman sehingga 10 Jun ini

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 7 Jun – Seorang lelaki yang memandu kereta Perodua Myvi dipercayai memandu dalam keadaan mabuk
menyebabkan kematian sepasang suami isteri orang kurang upaya (OKU) dalam nahas membabitkan empat
kenderaan di Jalan Serkam Pantai, Jasin, pagi semalam direman empat hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman itu buat sehingga 10 Jun ini terhadap lelaki berusia 24 tahun telah dikeluarkan
oleh Majistret Mahkamah Melaka, Nabihah Mohd. Noor.

Reman itu adalah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di pekarangan mahkamah dengan diiringi
pegawai dan anggota polis pada pukul 9.50 pagi dan proses permohonan reman selesai kira-kira satu jam
selepas itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Amran@Mohamad Zaki berkata,
suspek telah ditahan di Hospital Jasin sewaktu mendapat rawatan.

Menurutnya, melalui semakan lanjut yang dibuat mendapati suspek mempunyai enam rekod saman membabitkan
kesalahan lalu lintas.

“Polis masih menunggu laporan perubatan ujian alkohol daripada pihak hospital yang dijangka akan
diperolehi dalam tempoh seminggu,” katanya.

Dalam kemalangan ngeri pagi semalam, pasangan suami isteri itu maut di tempat kejadian selepas motosikal
yang ditunggang mereka dirempuh dari depan oleh sebuah kereta dipercayai dipandu lelaki mabuk dalam nahas
membabitkan empat kenderaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu, mangsa, Ezuddin Mohammad, 50, dan isterinya, Surayah
Muhamat, 48, yang menunggang Yamaha Ego Solaris meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami
kecederaan parah di kepala dan badan.

Akibat rempuhan kuat, pasangan itu tercampak di tepi sebuah rumah di Kampung Pulai dekat sini.

Sewaktu kejadian, pasangan itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Melaka ke Merlimau sebelum tiba-tiba
kereta dari arah Merlimau terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh dua motosikal termasuk
ditunggang mangsa.

(Visited 432 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button