
Petronas untung RM55.1 bilion, beri dividen kepada kerajaan RM32 bilion
PETRONAS hari mengumumkan keuntungan bersih RM55.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024. Ia merosot 32 peratus berbanding RM80.7 bilion pada 2023.
Kemerosotan itu disebabkan olehj harga minyak yang rendah dengan pendapatannya dalam tempoh itu berjumlah RM320.0 bilion, susut tujuh peratus daripada tahun sebelumnya.
Dalam tempoh itu juga perolehan Petronas sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih rendah sebanyak RM114.1 bilion, sejajar dengan keuntungan yang lebih rendah.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, berkata prestasi kewangan pada 2024 kekal berdaya tahan walaupun dalam keadaan tidak menentu yang berterusan dalam pasaran dan tekanan kawal selia yang semakin meningkat berikutan perubahan geopolitik global.
Katanya, komitmen kumpulan terhadap pengurusan kewangan yang berhemat dan kepelbagaian portfolio menyokong syarikat minyak dan gas nasional itu mencatatkan keputusan kewangan yang utuh meskipun berdepan persekitaran mencabar.
Mengenai tinjauan bagi 2025, Petronas berada di kedudukan strategik untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat sambil memastikan jaminan bekalan.
Kumpulan bersedia untuk mengharungi cabaran dengan memaksimumkan potensi asetnya, pengurusan kewangan yang berhemat serta produktiviti dan kecekapan penambahbaikan dalam usaha kumpulan untuk kekal sebagai organisasi berprestasi tinggi.
Pada 2024, Petronas memberi dividen kepada kerajaan sebanyak RM32 bilion, pembayaran cukai (termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan) dan duti RM26.8 bilion, pembayaran tunai petroleum RM13.1 bilion dan Dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) sebanyak RM500 juta.
Bagi 2025, PETRONAS dijangka memberi dividen kepada kerajaan sebanyak RM32 bilion.