Pendidikan

Peserta program pembentukan jati diri didedahkan dengan prinsip Rukun Negara

PULAU PINANG 30 Ogos – Para peserta Bengkel Ke Arah Jati Diri Yang Cemerlang (Towards Excellence Self Esteem Development) Untuk Pelajar Terbaik, Cemerlang dan Pengawas Terpilih Di Negeri Perlis 2024 pada hari keduanya dikongsikan taklimat mengenai Nilai-Nilai Murni Rakyat Malaysia yang menyentuh tunjang utama konsep Keluarga Malaysia adalah berpaksikan pegangan yang kukuh terhadap Perlembagaan Persekutuan dan mendokong prinsip-prinsip Rukun Negara oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Kelima-lima prinsip Rukun Negara ini jika dihayati akan membawa kepada penerapan nilai-nilai murni dalam masyarakat rakyat Malaysia.

Prinsip pertama Rukun Negara adalah Kepercayaan kepada Tuhan yang membawa nilai beriman dan beramanah dalam keluarga. Kesetiaan kepada Raja dan negara dapat diterjemahkan melalui keadilan, melindungi, keamanan dan kesejahteraan dalam negara di bawah pemerintahan Raja Berperlembagaan.

Prinsip Keluhuran Perlembagaan pula dapat mengetengahkan nilai kebijaksanaan, ketelusan dan menjaga keharmonian negara melalui Perlembagaan Persekutuan, prinsip Kedaulatan Undang-Undang pula menerapkan nilai keadilan yang bermaksud ahli komuniti atau seluruh rakyat wajib mentaati undang-undang negara.

Prinsip terakhir adalah Kesopanan dan Kesusilaan yang menerbitkan rasa kasih sayang, prihatin, tolong menolong dan saling melindungi sesama kita. Ini adalah antara nilai-nilai yang perlu diamalkan oleh setiap rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama, jantina, kaum, warna kulit, bahasa, tahap pendidikan ataupun sempadan negeri.

Sesi pada hari tersebut diteruskan dengan taklimat berkenaan Pengendalian Majlis bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai pengurusan dan kepimpinan sebagai seorang pemimpin dalam menguruskan serta mengendalikan sesuatu acara rasmi pada masa akan datang. Selain itu, ia juga dapat memupuk semangat setiakawan dan nilai-nilai tanggungjawab terhadap tugasan yang diberikan.

Pada sesi sebelah malamnya pula adalah Forum Ke Arah Masa Depan Kerjaya yang Cemerlang yang telah dikendalikan oleh Ahli Panel Bahagian Pengurusan Dasar TVET Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Ir. Ts. Dr. Wan Mohd Faizal Wan Ab Rahim dan Ahli Panel Kedua, Hos Television, Ikon Sukarelawan dan Moderator, Ahmad Fedtri Yahya. Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth memoderatorkan sesi ini.

Terdahulu daripada itu pada tengaharinya para peserta turut dibawa untuk mengalami pengalaman ‘Island Tour’ di sekitar perairan Pulau Pinang menaiki feri yang dihoskan oleh Penang Port Sdn. Bhd dan dihadiri sendiri oleh Pengerusinya, Datuk Seri Syed Mohamad bin Syed Murtaza.

Seramai 101 orang pelajar tingkatan empat mewakili kesemua 30 buah sekolah menengah di negeri Perlis tersebut di Hotel Bahang Bay dan turut menerima keberangkatan Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bagi sesi petang dan malam.

Bengkel yang ditaja oleh Yayasan Bank Rakyat ini dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasana pihak MAIPs, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis serta Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button