Nasional

Pesawat MH dari India merupakan penerbangan kargo – Ka Siong

EMPAT penerbangan Malaysia Airlines dari India yang ditularkan di media sosial merupakan penerbangan kargo.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong selepas tular di media sosial mendakwa terdapat empat pesawat dari India mendarat pada 1 Mei lalu.

Pesawat tersebut MH191 dari Delhi, MH193 dari Bengaluru, MH195 dari Mumbai dan MH181 dari Chenai.

“Semua penerbangan MH yang menjadi viral di media sosial merupakan penerbangan kargo. Penerbangan pesawat penumpang juga kosong dan digunakan untuk membawa muatan yang kebanyakannya adalah barangan farmasi, ubat-ubatan, telefon bimbit, komponen elektrik dan bungkusan kurier.

“Mengubah penerbangan penumpang kepada kargo bukanlah sesuatu yang baharu (P2C penumpang-ke-kargo) dan dipraktikkan MAB selama berbulan-bulan sebelum ini susulan berlakunya pandemik COVID-19,” kata Ka Siong.

Katanya pihak Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan MAS Kargo di bawah kendalian MAB dan Suruhanjaya Penerbangan Awam (Mavcom)  telah mengesahkan perkara tersebut.

Menurutnya, selari dengan arahan Kerajaan selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkuatkuasa pada 28 April semua penerbangan penumpang dari dan ke negara India dilarang memasuki Malaysia.

Hanya penerbangan kargo yang akan dibenarkan pada masa ini.

“Walaupun saya sangat kesal dengan penyebaran beberapa maklumat yang salah mengenai status penerbangan ini, namun saya memberi jaminan kepada rakyat bahawa Kerajaan begitu prihatin dan peka dengan situasi di negara seluruh dunia dan mengambil langkah-langkah yang diperlukan,” katanya.

Pengguna media sosial bernama Wan Hilmi Wan Mohd. Nor Hilmi telah melakukan perkongsian yang mendakwa rakannya, Nor Azlan Nordin mendakwa empat penerbangan mendarat dari India pada 1 Mei.

“Nota aku: Aku rasa kerajaan tak serius nak cegah Covid, kerajaan tidak buat keputusan yang bijak, menyusah rakyat dan aku kehabisan kata. Bodoh.

“Penat weh bila kerajaan buat keputusan yang bodoh dan tidak tutup pintu sempadan seperti sepatutnya.

“Penat buat kerja sukarela bila ada pemerintah yang bodoh tdak tutup pintu sempadan. tak pernah belajar dari kesilapan orang lain dan tetap dengan kebodohan,” kata Wan Hilmi Wan Mohd. Nor Hilmi.

Sementara itu Ka Siong menjelaskan bahawa kes seorang pemegang pas pekerja asing warga India yang memasuki Malaysia dan dijangkiti Covid-19 varian India adalah berlaku lebih awal iaitu pada 10 April.

Perkara itu telah disahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

“Pelancong bukan Malaysia dari India tidak dibenarkan memasuki atau transit di Malaysia pada masa ini. Walau bagaimanapun, pengecualian akan dibuat untuk warganegara Malaysia yang memasuki Malaysia dari India tanpa melalui imigresen dan kastam.

“Semua juruterbang, jurutera, dan kru kabin tetap berada di atas kapal. MAB juga melarang mana-mana krew penyelenggaraan pesawat dari India memasuki pesawat yang berkenaan.

“Pekerja asing yang memegang pas lawatan kerja sementara, pekerja perniagaan, dan pelajar antarabangsa dari India juga akan dihalang tertakluk kepada arahan yang berkuatkuasa 28 April 2021,” kata Ka Siong.

Warganegara Malaysia iaitu pelajar dan pekerja, keluarga mereka dan pasangan bukan warganegara Malaysia yang pulang ke Malaysia dari India dibenarkan pulang dan perlu kuarantin mandatori 14 hari di pusat-pusat yang ditetapkan.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button