Keputusan kerajaan mengumumkan kenaikan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) dari RM360 kepada RM500 permetrik tan berkuatkuasa hari ini cukup melegakan pesawah padi di Paya Luboh dan Seberang Gajah, Tangga Batu, Melaka di sini.
Rata-rata mereka menyifatkan keputusan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam adalah wajar dan tepat pada waktunya.
Seorang pesawah Suhaimi Mustafa, 60, berkata, perkara itu sudah lama ditunggu oleh petani dan keputusan yang dibuat itu membuktikan kerajaan prihatin terhadap nasib petani di negara ini.
Menurutnya, kenaikan SSHP dapat membantu petani membeli baja dan racun serta dapat meningkatkan pengeluaran dan jualan padi selepas ini.
“Alhamdulillah bagi tiga hektar padi yang saya usahakan secara tidak
langsung juga dapat menambah pendapatan berbanding pada harga RM360 permetrik tan sebelum ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Seorang lagi petani Sabri Yusof, 57, berkata, dia ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada keprihatinan Perdana Menteri yang mengumumkan kenaikan SSHP berkuatkuasa hari ini.
Katanya, kenaikan sebanyak RM140 itu tidak pernah berlaku sebelum ini dan seluruh pesawah di Paya Luboh dan Seberang Gajah menyambut baik keputusan kerajaan itu.
“Kenaikan ini dapat membantu pesawah untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi selain itu ia dapat membantu mengurangkan kos kenaikan input pertanian seperti baja dan racun,” katanya yang mengusahakan kawasan padi seluas 6.07 hektar.
Seorang lagi petani Abdul Wahab Miran, 69, berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang sentiasa peka dengan rintihan petani yang sudah lama menanti pengumuman itu.
Menurutnya, keputusan yang dibuat adalah wajar memandangkan kos sara hidup ketika ini begitu tinggi selain baja dan racun yang naik mendadak.
“Kenaikan ini dapat menampung kos mengusahakan tanaman padi dan memberikan pendapatan yang sedikit lebih buat saya menyara keluarga selepas bersara,” ujarnya. – SM