Acara

Pemangku Raja Perlis kagum pesara hias rumah dengan Jalur Gemilang

KANGAR 12 Sept. – Pesara Jabatan Penerangan Negeri Perlis, Abdul Aziz Shaari menghiasi perkarangan rumah beliau di Kampung Santan dekat Kangar dengan kibaran Jalur Gemilang yang sungguh menarik di setiap sudut rumah tersebut.

Beliau turut menyediakan informasi mengenai asal usul Jalur Gemilang dan koleksi gambar-gambar bersejarah berkaitan Hari Kemerdekaan negara dan Hari Malaysia di ‘Pondok Merdeka’ yang beliau wujudkan.

Paling istimewa kepada beliau ialah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan meluangkan masa singgah di rumah itu ketika mengetuai program Kayuhan MAIPs Peduli kali ke 72 bagi tahun 2024 yang merupakan kayuhan amal yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Baginda turut diiringi oleh ketua-ketua jabatan dan agensi Negeri serta Persekutuan bagi mengenal pasti dan menyelami masalah serta cabaran yang dihadapi oleh golongan yang kurang bernasib baik ini dan seterusnya mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi menyalurkan bantuan.

Tuanku Pemangku Raja merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan kepada para asnaf yang terpilih pada edisi kali ini yang menerima sumbangan daripada MAIPs berupa wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli dan beras Fidyah.

Asnaf yang bertuah terpilih pada kali ini adalah Hashim Mat Jaya, 85 tahun daripada Kampung Santan, Osman Harun, 72 tahun dan Hasnah Ali, 59 tahun juga dari kampung yang sama.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button