Pesakit mental maut terjatuh dari tingkat 14
SEORANG lelaki yang menghidap sakit mental dan sedang menjalani rawatan psikatri di Hospital Kuala Lumpur ditemukan maut selepas terjatuh dari tingkat 14 sebuah flat di Bandar Tasik Selatan, Cheras, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.10 pagi tadi.
“Bertindak diatas maklumat tersebut sepasukan anggota dari Balai Polis Sg. Besi telah pergi ke tempat kejadian di Blok D Pangsapuri Kos Rendah Bandar Tasik Selatan, Cheras Kuala Lumpur.
“Siasatan dijalankan mendapati mangsa berusia lebih kurang 30 tahun dalam keadaan terbaring di kawasan tempat letak motosikal flat berkenaan,” katanya.
Menurut Muhammad Idzam, mangsa juga disahkan oleh isterinya mengalami sakit mental dan sedang menerima rawatan psikaitari di hospital mental HKL.
Ujarnya, siasatan akan diteruskan bagi mengetahui punca kejadian mangsa jatuh dari tingkat 14 rumah berkenaan.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Ketua Polis Balai Polis Sg Besi, Inspektor Muhammad Sallehuddin Drahaman di talian 03-9058 2222. -SM