Lengkap vaksinasi: Pelancong Covid-19 tak perlu kuarantin
PELANCONG yang telah dijangkiti Covid-19 dan telah selesai menjalani vaksinasi tidak perlu menjalani kuarantin sebaik tiba di Malaysia tetapi mereka masih perlu menjalani ujian RTK Antigen (Ag) di pusat pemeriksaan antarabangsa.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bagaimanapun berkata, pelancong yang belum melengkapkan vaksinasi atau belum diberi vaksin, perlu menjalani kuarantin wajib tujuh hari sebaik tiba di negara ini serta mengambil ujian pengesanan Covid-19.
“Berdasarkan data saintifik dan bukti serta pengalaman negara lain dalam menguruskan kemasukan pelancong yang pernah dijangkiti Covid-19 sebelum ini, kerajaan mengambil pendekatan bahawa pelancong yang mempunyai sejarah jangkitan perlu divaksin sepenuhnya dan menunjukkan bukti sijil vaksinasi.
“Pelancong juga perlu menyediakan bukti jangkitan pandemik 11 hingga 60 hari sebelum berlepas dari Malaysia melalui keputusan ujian makmal bercetak atau digital.
“Pelancong yang mempunyai sejarah dimasukkan ke hospital kerana jangkitan Covid-19 perlu mengemukakan surat Fit to Travel daripada doktor hospital berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairy berkata, perkara itu adalah antara prosedur operasi standard (SOP) terkini bagi pelancong yang mempunyai sejarah jangkitan Covid-19 yang bakal berkuat kuasa esok.
Beliau berkata, Malaysia masih mengamalkan prosedur kawalan sempadan termasuk ujian dan kuarantin ke atas pelancong yang tiba di negara ini dan mereka yang didapati positif menggunakan RT-PCR tidak akan dibenarkan masuk.
Beliau berkata, pelancong yang menjalani pengasingan di rumah atau hotel mereka sendiri kerana jangkitan Covid-19 tetapi tidak dimasukkan ke hospital perlu menjalani saringan RTK Ag profesional dua hari sebelum meninggalkan Malaysia.
“Hanya individu dengan keputusan negatif akan dibenarkan meneruskan perjalanan mereka. Semua dokumen berkaitan perlu dibawa bersama untuk ditunjukkan kepada pihak berkuasa penerbangan dan kesihatan apabila diminta,” katanya.
Sementara itu, bagi pelancong yang belum dijangkiti Covid-19, SOP semasa masih terpakai dan sebarang perkembangan mengenai situasi serta keputusan baharu akan diumumkan dari semasa ke semasa. – SM